marquee

Showing posts with label AKHLAK. Show all posts
Showing posts with label AKHLAK. Show all posts

Wednesday, October 31, 2012

Cerita si guru


Bismillahirrahmanirrahim…

***
Usai membimbing anak-anak menunaikan solat asar berjemaah, si guru nekad untuk kekal di hadapan. Matanya di hala ke kiri dan ke kanan dengan perlahan, sayu memerhati air muka ahli-ahli syurga yang sangat bersih, cukup tenang…setenang air di kali. Anak kecil di hadapannya itu rata-rata berusia 4 hingga 10 tahun. Usia yang terlalu mulia. Belum ada tanggungan dosa. Itu melayakkan mereka digelar ahli syurga.



“Buat apa pula Tok Imam?” Pertanyaan si guru memecah kesunyian.

“Zikir…”

“Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu Akbar..Lailahaillallah..” 

Anak-anak serentak mengalunkan zikir. Tersenyum si guru melihat anak-anak membilang jari-jari kecil mereka untuk mencukupkan 11 ulangan zikir.

“Baca doa…” Arahan imam kecil tadi  memberikan isyarat kepada para makmum untuk memperbaiki kedudukan. Kedua kaki diletakkan di bawah punggung. Kedua tangan diangkat penuh harap.

“Bismillahirrahmanirrahim..Rabbi ghfirli waliwa lidayya warhamhuma kama rabbayaani soghira..Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil”



Sebelum anak-anak bangkit untuk bersalaman, si guru memulakan bicara. Teringin benar menyampaikan pesan pada si anak. 

“Duduk dulu sayang… ustazah nak cakap sikit ni.”Anak-anak memandang si guru. 

“Alhamdulillah…tadi kita solat asar sama-sama. Waktu kita solat, kita menghadap siapa ya?”

“Allah…” Kuat dan jelas suara mereka, serentak dan sekata.

“Betul, waktu kita solat, kita sebenarnya bercakap dengan Allah. Allah sayang kita. Allah dengar semua kata-kata kita. Kita boleh minta macam-macam. Allah dengar semuanya.”  Si guru membetulkan duduk.

“Tadi waktu duduk antara dua sujud, kita baca apa ya?” soal si guru menguji.

“Rabbi ghfirli warhamni wajburni warfa’ni warzuqni wahdini wa’aafini wa’fu anni” Anak-anak membaca dengan penuh semangat. 

“Pandai semuanya.. Alhamdulillah. Ustazah suka dengar bacaan tu. Baca sekali lagi sayang”

Anak-anak mengulang bacaan dengan lebih kuat, barangkali seronok dengan pujian. Fitrah anak, gembira dengan puji-pujian. Masakan tidak, mereka sememangnya layak dipuji, setiap masa, tanpa batasan. Pujilah anak-anak, kerana itu sumber kekuatan mereka. 

“Sedap sungguh bacaan doa tadi. Itu doa sebenarnya. Apa maksud bacaan tadi ya? Siapa tahu?”

Anak-anak diam tanpa kata, ada juga yang terlopong. 

“Tadi kita baca doa. Sedap doa ni. Baca doa ni setiap masa ya. Kalau kita nak baca doa, kat mana-mana pun boleh. Sambil tunggu kawan, kita boleh baca doa. Sambil tunggu ummi siapkan nasi, kita boleh baca doa. Sambil tunggu ayah ambil kita di sekolah, kita boleh baca doa. ”

“Aakil suka baca doa…” Si kecil 5 tahun yang comel mula bersuara. 

“Faqih pun selalu baca doa dengan ibu. Hari-hari Faqih baca doa. Doa dengan kawan-kawan, dengan cikgu, dengan Tok Ma..semua faqih baca doa..” Si comel ini juga mula bercerita. Si guru memandang dengan senyum.

Suasana sedikit bising. Masing-masing sibuk bercerita tentang doa mereka. Anak-anak perempuan di barisan paling belakang tekun melihat si guru. Anak lelaki di hadapan ada yang berbisik-bisik sesama mereka dengan butiran yang tidak jelas kedengaran.

“Diam la, ustazah nak cerita tu.” Syamil bersuara agak tinggi sambil memandang sahabat-sahabat. Dia kemudian memandang si guru sambil tersenyum-senyum. Seorang anak murid yang sangat cintakan ilmu, sentiasa menjadi penyelamat keadaan. Suasana kembali tenang.
   
“Ya..ya.. dengar ni ustazah nak cerita. Tadi kita baca doa. Tapi maksud bacaan tu apa? Doa ni sedap sangat. Baca selalu.” Si guru sengaja mengulang kata-kata, kerana khuatir anak-anak hilang fokus. Si guru menlihat jam di dinding. Sudah kesuntukan masa. Ibu bapa akan menjemput anak-anak pulang ke rumah sekejap lagi. Bicara diteruskan sedikit laju. 

“Rabbi ghfirli.. maksud dia apa ya? Maksudnya.. Ya Allah…ampunkan saya, saya banyak dosa. Tiada sesiapa boleh ampun dosa saya.  Allah sahaja boleh ampunkan saya. Wahai Allah, ampunlah dosa saya. Kita banyak dosa tak? Banyakkan… jadi kita kena minta ampun dengan Allah.”

“Warhamni.. apa maksudnya sayang? Maksudnya.. Ya Allah…sayangilah saya. Tiada sesiapa yang sayang pada saya..  Kita kena sayang Allah, sebab Allah sangat sayang pada kita. Mak ayah kita sayang kita tak? Mestilah sayangkan.. tapi sebenarnya Allah lebih sayang kita. Sebab itu Allah ‘ambil’ kita. Allah jemput kita berjumpa denganNYA.” Si guru tahu ada perkara yang perlu dijelaskan. Anak kecil ini belum mengerti. Tetapi masa sangat mencemburui mereka. Si guru perlu meneruskan bicara. Niatnya untuk menyampaikan kata penuh makna pada erti sebuah doa.  

“Wajburni… haa..yang ni maksud apa pula? Maksudnya.. Ya Allah..cukupkanlah rezki saya.. Saya tak pandai lagi belajar, jadikan saya pelajar yang pandai. Saya tak ada duit nak beli buku-buku untuk belajar, berikan saya rezki untuk beli buku, untuk dapat ilmu. Cukupkan rezki saya Ya Allah. Kita tiada apa-apa. Jika Allah tak bagi kita rezki, kita tiada apa-apa. Tiada apa pun yang jadi milik kita. Semuanya Allah punya. Jadi kita kena minta dari Allah. Mintalah, nanti Allah beri.” Si guru mengukir senyuman penuh harapan.

“Ok…apa lagi lepas tu… Rabbi ghfirli.. Warhamni.. Wajburni.. Warfa’ni..haa..apa maksud warfa’ni sayang? Maksudnya.. Ya Allah..angkatlah martabat saya. Saya tiada apa-apa. Wahai Allah..muliakanlah saya. Kita ni manusia yang lemah. Kita minta Allah angkat martabat kita, kita minta Allah bagi kita kekuatan. Ya Allah, saya manusia yang lemah, muliakan saya dengan sifat KemulianMU.”

“Lepas tu sayang, baca apa lagi?”

“Warzuqni..” suara anak-anak yang agak dewasa sayup-sayup kedengaran. Itu isyarat mereka masih bersama si guru. Si guru bersemangat meneruskan bicaranya. 

“Yaaa.. apa maksudnya? Warzuqni itu maksudnya.. Ya Allah..berikan saya rezeki. Kurniakanlah keberkatan pada rezeki saya. Saya tidak mengharapkan rezeki lain, Allah sahaja pemberi rezeki saya.. Rezeki Allah sangat banyak, mintalah dariNYA, kita tak tahu mana satu rezeki kita, kita tak tahu di mana rezeki kita, Kita tak tahu.. sebab itu kita kena minta dariNYA.”

“Wahdini..maksud apa pula? Huda..hidayah… maksudnya Ya Allah, beri saya petunjuk. Tunjukkan saya jalan-jalan kejayaan, tunjukkan saya jalan-jalan kebekatan, tunjukkan saya jalan-jalan untuk berjaya di dunia dan akhirat. Jika kita sesat dalam hutan, kita takut tak? Mesti takut kan. Jadi kita teringin sangat untuk dapat petunjuk supaya boleh keluar dari hutan itu. Jadi kita kena minta petunjuk dari Allah. Allah sahaja boleh bagi kita petunjuk. Jika kita dapat petunjuk untuk keluar dari hutan, kita suka tak?”

“Sukaaa..”

“Lepas wahdini..apa pula..Wa ‘aafini.. Apa maksudnya? Ya Allah.. afiatkan saya..sejahterakan saya.. berikanlah saya kegembiraan, kebahagiaan,ketenangan, kesejahteraan, kedamaian. Ya Allah, berikan saya kesihatan. Semua nak sihat tak? Nak..semua orang nak sihat. Kita minta Allah berikan kita kesihatan yang baik, bila kita sihat, kita akan kuat. Nanti kita boleh tolong agama Allah. Sayang Islam tak?

“Sayang”…

“Nak tolong agama Allah tak?”

“Naakkkkk”..

“Alhamdulillah… kita semua mesti jadi kuat.. nanti kita boleh kalahkan musuh-musuh Allah.” 

“Akhir sekali apa sayang? Wa’fu anni…hmmm…apa maksud wa’ fu anni ni? Maksudnya... Ya Allah.. ampunilah saya..saya banyak sangat dosa. Saya minta ampun atas segala-galanya. Kita kena minta maaf banyak-banyak dengan Allah, sebab kita selalu buat dosa. Minta maaf banyak-banyak, nanti Allah ampunkan kita.”

“Itulah maksud doa ni… sedap maknanya.. Baca selalu doa ni.. bila-bila masa boleh baca, di mana-mana.”Anak-anak ada yang masih terpaku. Tak kurang juga yang tunduk senyum tersipu-sipu.

Si guru mengakhiri penjelasan dengan satu helaan nafas yang cukup dalam. Wajah-wajah bersih di hadapan terus ditatap sepenuh jiwa. Hatinya cukup bahagia.

Walaupun mungkin anak-anak belum mengerti akan doa ini, tapi sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa ia adalah sebuah doa. Si guru akan terus mengangkat tangan, berdoa bersama anak-anak kecil ini. Mereka ahli Syurga. Barangkali, ahli Syurga ini boleh menjadi asbab untuk Allah menerima doa si guru juga, kerana ada nilai keberkatan pada anak-anak ini. 

“Mudahan pesanan tadi diterima sebagai ibadah di sisiMu ya Allah… Mudahan ia mampu menambah iman dan rasa cinta anak-anak ini terhadapMU. Cintailah mereka sebagaimana Engkau mencintai hamba-hambaMu yang soleh.” Si guru berbisik memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. 

Berdoalah sayang.. merayulah padaNYA. Allah sangat rindu dengan rayuan kita. Allahu Rabbi..

Saturday, September 22, 2012

Adab orang berilmu


Bismillahirrahmanirrahim…Salam kecemerlangan. Kali ini, ana terpanggil untuk kongsikan sedikit tip berkenaan adab orang berilmu. Adab merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Masakan tidak, ulama’-ulama’ silam memperuntukkan masa puluhan tahun untuk mempelajari ilmu mengenai adab sebelum mereka menuntut ilmu yang lain seperti fiqh, tasawuf, sirah, matematik, fizik dan lain-lainnya. Subhanallah, kerana memuliakan adab, ilmu mereka terus diberkati dan dilindungi sehingga sampai kepada kita hari ini. Alhamdulillah, mudahan semuanya bernilai ibadah. Pastinya, pahala-pahala akan terus mengalir buat kalian wahai pencinta ilmu Allah. 



Allah memberikan untuk kita rahmat dan nikmat yang begitu banyak. Tidak terhitung angka, tidak terakam kata, tidak tersukat alat, tidak terjangkau akal, dan tidak terkaji manusia. 
Maha Suci Allah, benarlah kalamMU:

Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya
Surah Ibrahim:34

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para siddiikin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya
Surah an-Nisa:69

DAN KETAHUILAH, ILMU ADALAH NIKMAT TERINDAH DARI ALLAH BUAT HAMBANYA

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat
Surah al-Mujadalah:11

 “Tidaklah patut bagi orang yang tahu itu diam di dalam kejahilan(tanpa bertanya) dan juga tak sepatutnya orang yang berilmu itu diam dengan ilmunya(tidak mahu menyampaikan ilmunya)”
Hadith riwayat Imam al-Thabrani



Disini, ana kongsikan sedikit ilmu yang ana temui dalam pembacaan ana, berkenaan adab orang berilmu:

1.       Hendaklah sentiasa mempelajari ilmu serta mengamalkannya.


2.       Hendaklah tetap sopan, lemah lembut dan tunduk.


3.       Tidak banyak berbual kosong.
4.       Tidak berdoa untuk kemegahan diri sendiri.
5.       Berlemah lembut sesama yang menuntut ilmu dan bersikap keras dengan orang yang menderhaka.


6.       Melayani orang yang ingin mengetahui pelajaran dari kita.
7.       Jangan terlalu kerap berkata “Saya tidak tahu”.
8.       Bersikap jujur apabila ditanya untuk memberi kepuasan terhadap orang yang bertanya.


9.       Sudi mendengar hujah(alasan) dan menerimanya (sekiranya baik), sekalipun ia dari musuh kita.

10.   Sentiasa bertanya dalam perkara yang kurang tahu dan kurang faham.
11.   Berlumba-lumba dalam mencari ilmu.
12.   Bertekad dalam hati untuk menjadi manusia bijaksana dan dapat memberi manfaat kepada manusia lain.

MENUNTUT ILMU ADALAH TAQWA,
MENYAMPAIKAN ILMU ADALAH IBADAH,
MENGULANG-ULANG ILMU ADALAH ZIKIR,
MENCARI ILMU ADALAH JIHAD
--Imam al-Ghazali-


Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Selamat beramal.
Kaedah ada menyebut. “Jika tidak boleh membuat semuanya, jangan tinggalkan semuanya”  
Allahu Rabbi.

Friday, September 21, 2012

Nasihat yang baik

Bismillahirrahmanirrahim...buat kesekian kalinya ana menitipkan bait-bait bicara ilmu dan hikmah, membongkar khazanah ilmuNYA, lantaran misi 'dakwah senyap' ini perlu diteruskan.Saling mengingati itukan sunnah...


Kali ini ana kongsikan satu kata-kata. Pada ana, ia cukup ringkas, tapi ada makna mendalam yang perlu dihayati. Buat pemilik jiwa-jiwa yang suci seperti kalian, ana doakan mudahan ayat ini  memberi seribu makna.

"Usah kalian meminta dariNYA untuk mendapat yang TERBAIK,
tapi pintalah untuk menjadi hambaNYA yang BAIK,
kerana menjadi BAIK adalah jauh lebih bernilai
 daripada menerima yang TERBAIK"

 
Jom kita persiap diri kerana:


Sekadar ingatan BERSAMA ...
Allahu Rabbi..

Wednesday, July 18, 2012

Catatan Kematian


Assalamualaikum… Salam Syaaban… pejam celik-pejam celik, kita semakin menghampiri penghujung Syaaban, esok boleh tengok anak bulan Ramadhan. Mudahan ini bukan Syaaban terakhir untuk kita. Minggu ini, ana menerima dua berita kematian saudara terdekat. Ia sesuatu yang menyedihkan, tapi ia juga hakikat yang tidak mampu kita nafikan. Pengalaman pertama ana telah kongsikan dalam artikel lepas, belajar dari kematian. 

Untuk kali ini, ana kongsikan pengalaman kedua ana. Kali ini urusan kematian saudara sebelah ayah. Arwah adalah sepupu ayah. Ana mulakan travelog kembara ana.

 
Sesampai ana di rumah arwah, ana tengok ramai orang memakai pakaian seragam bomba. Rupanya arwah adalah seorang bomba. Ramai orang di rumah arwah. Ana naik ikut pintu belakang. Ramai sangat muslimin kat depan. 

Ana duduk di tepi seorang makcik. Ana nampak suasana rumah masih suram, tamu-tamu berduka, bersedih mengenang arwah. Apa yang mengkagumkan ana, hampir 70% muslimat di dalam rumah memakai jilbab yang labuh. Ana mengenali arwah sebagai seorang yang menekankan didikan agama dalam keluarganya. Keluarga arwah menekankan didikan agama. 

 
  

Jelas kelihatan raut tenang di wajah-wajah suci muslimat. Barangkali mereka adik-beradik dan saudara mara arwah. Ana tengok mereka buat kerja sambil mendoakan kebaikan dan keampunan untuk arwah. Yang lebih mengkagumkan ana, orang yang paling banyak membantu urusan jenazah arwah adalah Mak Cik Yah, isteri arwah sendiri. Kekuatan dan ketabahannya mayakinkan ana bahawa Mak Cik Yah adalah isteri solehah, bakal bidadari Syurga, insyaAllah. 


Sedang ana duduk-duduk, saudara menjemput semua tamu untuk menatap wajah suci arwah buat kali terakhir. Ana kekal di tempat ana, membiarkan saudara-saudara terdekat untuk menatap arwah. Ramai juga yang ingin menatap wajah arwah. Ana rasa tenang melihat kelibat-kelibat muslimah berjilbab labuh, ana dapat rasakan suasana dan aura yang baik sedang menaungi rumah kecil itu. 

Tiba-tiba ana lihat Mak Cik Yah memegang tangan seorang anak perempuan, jelas mukanya masih menangis. Anak perempuan itu adalah anak bongsu arwah. Mak Cik Yah memimpin anaknya untuk mencium wajah arwah ayahnya buat kali akhir. Sayu juga saat itu. Ramai yang menitiskan air mata. Ana sedih juga.  Selepas menatap wajah arwah, anak perempuan itu duduk di sebalah ana. Ana dengar perbualan Mak Cik Yah dengan anaknya. “Nak ikut umi pergi kubur tak?” Anaknya diam membisu. “Umi nak pergi kubur, umi pergi sekejap je, nanti umi balik.” Umi menyambung bicara “Kakak dah solat zohor ke? Pergi solat dulu, tak baik solat lambat, nanti lambat pula solat kalau pergi kubur”. “Mari kita solat dulu,umi bawa kakak ambil air sembahyang, mari ikut umi”. Teliti ana mendengar bait-bait kata seorang umi kepada anak perempuannya. Mak Cik Yah berbicara dengan penuh kasih sayang, lembut tuturnya, ikhlas dari jiwa. Terdetik di hati, ingin menjadi umi yang baik seperti Mak Cik Yah, ibu mithali.


Waktu nak solat jenazah, ada seorang kakak keluar dari bilik, dengan pakaian sembahyang, keluar untuk sama-sama solatkan jenazah. Wajahnya nampak bersedih lagi. Beruntung arwah, ramai solatkan jenazahnya. Mudahan arwah ditempatkan bersama di dalam kalangan penghuni-penghuni Syurga, tempat keabadian yang terindah, idaman pemilik hati yang mendambakan Kasih Agung Pemilik Cinta Teragung. Allahu Rabbi.

Ana terfikir, bagaimana ana disaat kematian. Bagaimana kesudahan kita? Bagaimana keadaan orang yang hadir di majlis kematian ana? Apa topik perbualan mereka? Bergembira atau berduka dengan kehilangan kita? MasyaAllah…. Seakan ada air hening di tepi kelopak mata ana..

Sungguh kematian itu mengajar kita menginsafi diri. Alangkah pelik manusia yang masih leka ketawa sedangkan kematian makin menghampirinya.

Berusahalah menjadi manusia baik, manusia acuan al-Quran, manusia yang dilahirkan untuk akhirat.

Orang tidak malu pada kita jika kita banyak duit, tapi orang akan malu pada kita jika kita baik budi. Hiduplah menabur budi. Memberi dengan apa yang ada. Pemberian bukan dinilai dengan wang semata-mata, bahkan pemberian kasih sayang kadangkala jauh lebih bernilai daripada wang ringgit. 

Ingat mati, anda bijaksana.

Allahu Rabbi.

Sunday, July 15, 2012

Belajarlah dari KEMATIAN



Ana sebenarnya baru saja mengurus sebuah kematian. (Macam pelik pula ayat ni)...Maksud ana, ana baru pulang dari menguruskan jenazah seorang nenek. Ana panggil arwah nenek ni 'tok'. Ana tak tahu nama sebenar tok. Waktu ana jaga tok sakit di hospital, pengawal tanye "Nak jumpa sape?" Ana jawab "Tok" Pengawal tanya lagi "Tok nama apa?". Jujur + takut  ana jawab "Tok saya" Pengawal tanye lagi, (ana  tak suka soalan tu sebenarnya) "Tok nama apa?" Pastu pengawal tu teka nama tok "Semah binti..."..."hehe...ye kot"..Simple betul ana jawab. 


Kemudian pengawal izinkan ana masuk ICU. Sepanjang laluan ke ICU, waktu tu, ana rasa seolah-olah ana ni seorang cucu yang sangat jarang jumpa nenek, yang tak reti balik kampung dan tunggu ada kematian baru balik. Apalah teruk benar ana ni, nama tok pun tak tahu.. Ana sebenarnya memang tak kenal sangat tok. Ana kenal rupa je, ana tak tahu namanya. Sebab ana lebih suka panggil tok je. Lebih mesra dan original. Tapi ana dengar orang cakap-cakap, nama tok adalah tok Semah. Tok adalah orang yang istimewa juga dalam hidup ana. Perkenalan kami hanya seketika, tapi penuh makna. Belum setahun usia perkenalan kami. Ana kenal tok sebab tok adalah tok kepada ummi ana, isteri ayah ana, ibu ana juga. Sekian, habis tentang latar belakang tok. Mudah-mudahan arwah tok digolongkan dalam golongan orang-orang mukmin, yang akan mendapat syafaat dan kasih sayang Allah selamaNYA, sampai Syurga. Mudahan arwah tok sedang beristirehat di dalam taman-taman syurga abadi. 

Apa ana nak kongsikan kali ni adalah berkenaan pengalaman ana melihat pengajaran di tempat kematian. Dalam hidup kita, Allah tidak menjadikan sesuatu perkara sia-sia. Mesti ada bersebab. Kita mesti fikirkan hikmah sesuatu perkara terjadi. Kenapa ia ditakdirkan untuk kita? Kenapa bukan orang lain yang diuji?  Kenapa ujian datang pada waktu ini? ... Banyak persoalan yang berada di minda... 

Petang tu, ana baru je duduk di sofa merah. Ana baru pulang dari hospital ziarah tok. Sekitar jam 3.00 petang, ana dapat mesej: "Tok dah xde, nak urus bawa pulang".. Nak gugur jantung ana dapat mesej tu. Ana terkejut juga. Ana baru ziarah tok tadi. Tapi ana syukur, sebab sempat ajar tok ucap 'La ilaha illallah' di hospital tengahari tu. Ana doa juga, 'Ya Allah,jika kehidupan lebih baik untuk tok,maka sembuhkanlah tok dengan cara yang baik, dan andai kematian  itu lebih baik baginya, maka mudahkanlah segala urusan untuk bertemu denganMu'. Ana tahu, kematian adalah pilihan Allah yang terbaik buat tok. 
 

Petang tu ana terus ke rumah tok dengan adik-adik. Setangah jam juga jarak perjalananya. Ana sampai lewat petang, hampir Maghrib. Alhamdulillah, ramai orang rumah nenek. Waktu ana duduk melihat orang membuat persiapan pengurusan jenazah, ana dengar ada makcik sebelah ana sebut: "Ramai orang tolong dia". Ana senyum je. Ana rasa 'dia' yang dimaksudkan itu adalah tok. Memang ramai orang petang tu. Ana terdetik, mungkin tok orang yang baik sepanjang hayatnya, ramai kenalan. Ana fikir juga, nanti ana mati, ramai ke orang ziarah ana? Sebenarnya, tetamu datang ziarah ni bawa rahmat. Tetamu akan doakan kita, minta ampun untuk kita dan sedekahkan bacaan Yaasin dan Quran untuk kita. Subhanallah..indah sungguh.

Makin lama, hari makin gelap. Tetamu makin ramai undur diri. Ana tengok orang dah tak ramai, ana pun masuk dalam tempat orang letak jasad tok. Ada dua tiga orang sedang bacakan Yaasin. Ana pun ambil Yasin. Ana baca doa selamat. Ana baca juga satu doa untuk jenazah. Ana ulang-ulang doa tu. Doa yang Baginda saw ajar apabila lawat jenazah.
اللهم اغفرلها وارحمها وعافها واعف عنها
Ana tengok jenazah tok lama-lama. Ana tengok makin lama makin ramai yang nak baca Yaasin untuk dihadiahkan pada jenazah. Ramai cucu-cucu tok baca Yaasin sebagai penghormatan terakhir. Hari terakhir bersama tok. Waktu tu, ana tengok Mak Ngah, Mak De, Mak Teh dan Pak Su yang bacakan yaasin untuk tok. Tok ada 13 orang anak. Semua dah kahwin. Ana tengok mak saudara yang lain uruskan persiapan lain. Tetamu pula makin lama makin ramai kembali. Duduk menunggu jenazah untuk dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan. Satu yang ana terkilan, ana rasa lebih bermakna jika semua anak-anak tok boleh berkumpul untuk baca Yaasin dan berdoa untuk tok. Bukankah doa anak yang soleh akan diterima tanpa halangan. Inilah peluang terakhir untuk memberikan hadiah kepada tok selagi tok di depan mata. Betul, kita masih boleh bersedekah dan membaca doa buat tok, tapi siapa tahu urusan kita di masa akan datang. Mungkin sibuk dengan urusan anak-anak, isteri, sekolah anak, urusan pejabat, urusan rumahtangga…macam-macam urusan. Mungkin kesibukan ini makin lama akan mengurangkan ingatan kita kepada si mati. 


 Dipendekkan cerita, malam tu ana ikut juga tengok orang nak simpan jasad tok di tanah perkuburan. Memang shahdu waktu tu. Tapi ana rasa bahagia bila tengok orang-orang yang menguruskan pengebumian tok. Ada seorang pakcik yang tak henti-henti sedekahkan al-Kafirun. Ana pernah terbaca, jika kita baca 11 kali surah al-Kafirun di perkuburan, kita akan dapat pahala sebanyak pahala jenazah-jenazah yang ada di perkuburan itu. MasyaALLAH, mudah je Allah nak bagi kita pahala. Kita je tak mahu ambil pahala yang Allah nak bagi tu. 

Selesai urusan pengebumian dan talkin, semua balik ke rumah. Kawasan perkuburan yang tadi cerah kembali gelap Ana tengok je kubur tok, mudahan tok sedang beristirehat di alam sana, bersama para Shuhada, Aulia’ dan Anbia’. 

Ana kembali ke rumah tok. Ana tengok suasana masih suram, masih berduka dengan kehilangan arwah. Apabila ana masuk ke dalam rumah, suasana masih suram. Tiba-tiba, ana rasa kesal dan sedih, sebab dengar kata-kata seorang anak tok “Aduuuuh...gatalnya rambut.dah berapa hari tak mandi” Ana tahu, jika menunggu pesakit di hospital, kita memang agak penat. Kadangkala xsempat mandi pun. Ana sedih, janganlah mengeluh sampai macam tu, kita mengeluh sebab nak bagitahu apa yang kita rasa. Untuk apa? Apa orang sekeliling boleh buat? Mereka ketawakan kita adalah. Ana bimbang kita mengeluh tu, takut-takut nanti semua pahala kita menjaga mak di hospital akan hilang. Keluhan kita tu tanda kita penat jaga mak. Kenapa nak bagitahu semua orang yang kita penat jaga mak? Sampai tak sempat mandi, tak sempat urus diri. Allah ka nada. Dia Maha Tahu apa yang kita lalui, sekalipun kita tak mengadu padaNYA. Janganlah mengeluh, kerana Allah menilai amalan kita sebagai IBADAH.




Ana teringat satu kisah Sahabat Rasulullah SAW, ana lupa namanya. Tapi apa yang ana dapat kongsikan di sini, pesan Sahabat tadi, kasih sayang kita menjaga mak ayah yang tua tidak akan pernah mampu menandingi kasih sayang mak ayah kita menjaga kita sewaktu kita kecil. Mak ayah kita, mereka tak pernah mengharapkan kematian kita apabila kita sakit diwaktu kecil, mereka usaha habis-habisan untuk lihat kita sihat hidup membesar dengan mereka.. tapi, kita sebagai anak, kadang-kadang ada terdetik ‘Kalau mak dah takde, boleh la hantar along balik asrama nanti’.. terdetik juga..mengharap-harap kematian mereka… agar kerja harian kita kembali seperti biasa. Layakkah kita punyai fikiran sedemikian? 




###

Situasi: 

“Maaf cik, keadaan mak encik tak banyak yang berubah. Tubuhnya makin lemah. Doktor kata dah tiada harapan. Mungkin sehari dua je lagi. Ubat semua doktor dah beri, setakat tu je doktor boleh bantu”.  

Ana biasa lihat:

Anak cucu akan mula resah gelisah, susah hati, menangis, mula menghampiri mak yang sakit,baca Yaasin kuat-kuat, membisikkan sesuatu… minta ampun, minta halal segala dosa, minta maaf dari hujung kaki ke hujung rambut, minta halal segala hutang-hutang…macam-macam lagi…Alhamdulillah, ada juga yang mengajar kalimat Tauhid dan mengucap. Semua saudara mara jiran tetangga akan dihubungi. “Mak tenat dah ni, baliklah jenguk mak”. Rasa-rasa ana, mak yang sedang sakit tu pun makin takut, sebab ramai yang ‘bagitahu’ mak akan mati. Sebenarnya, mak pun nak minta maaf juga dengan kita, tapi kita yang tak sempat dengar, sibuk nak bagitahu urusan kita..mak dah tak larat nak berkata-kata waktu tu..

Ana jarang lihat:

Anak-anak membisikkan kata semangat pada mak yang sedang sakit. Mengusap-usap kepala mak, membaca dan menghembuskan doa dengan tenang di ubun-ubun kepala mak yang sakit. Menggosok-gosok dada mak yang sedang berombak kencang, memeluk erat tangan mak yang sedang bertarung nyawa. “Mak, InsyaAllah, semua akan beransur baik. Kita dah usahakan yang terbaik, Allah penentu segalanya. Kita berdoa lagi sama-sama. InsyaAllah, mak sembuh nanti. Allah Maha Kuasa. Dia akan bantu mudahkan urusan mak”.  “Mak, kalau mak penat, mak rehatlah, jalan baik-baik ke sana. Kami dah redha segala-galanya. Mak pun redhalah dengan apa yang Allah takdirkan. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita”. “Mak jangan bimbang, kami adik-beradik mak dah beri ilmu agama, InsyaAllah, berkat ilmu ni, pahalanya sampai untuk mak. Kita terus berdoa sama-sama, mudahan Allah bantu mak selalu. Allah bersama kita mak.”
Sayangi dan hargailah mereka selagi mereka di depan mata. Jika mereka sudah tiada, jangan berduka, kerana kita masih sempat berdoa, untuk sama-sama kembali berkumpul dan berjumpa di hamparan Syurga ILAHI . Doa anak yang soleh tidak akan ditolak. Itu janjiNYA…
Allahu Rabbi…