marquee

Monday, July 4, 2011

What are so special about you?

Assalamualaikum,

Syukur Alhamdulillah dipanjatkan buat pemilik hati ini, ana masih diberi peluang menukilkan sedikit lagi cerita ibrah. Sesungguhnya pengalaman hidup mengajar erti kedewasaan. Allah tidak menciptakan segala sesuatu itu sia-sia. "Afahasibtum annama khalaqnakum abasa?" Adakah kamu menyangka kami menciptakan kamu saja-saja(sia-sia)? Ambillah ibrah dari pengalaman hidup, lihatlah apa yang berlaku di sekeliling kita, segala yang berlaku ada petunjuk dan pengajaran yang perlu difikirkan dalam usaha menatijahkan zikir padanya.

Kisah ini berlaku ketika ana berada di dalam kelas ustaz Lutfi juga, ustaz yang ana kagumi dan hormati. Ana ada bercerita tentangnya dalam artikel lepas (Ana kagum dengan ustaz). Untuk kisah kali ini, ia berlaku ketika waktu negara sedang hangat diuji dengan wabak H1N1..Semoga Allah menyelamatkan kita semua. Ana di semester 3 pada waktu itu.

Seperti biasa, ramai student dan staf yang memakai mask untuk melindungi diri mereka daripada virus yang mungkin bertebaran bebas di angkasa raya. Menjaga kesihatan itu wajib demi menjaga nyawa. Pun begitu, ana tergolong dalam golongan yang tidak memakai mask pada waktu itu. Entahlah, mungkin rasa yang tidak barapa selesa berada dalam mask ketika belajar menangguhkan usaha ana untuk memakai mask itu.

Sekitar jam 11.00 pagi, ada kelas tutorial bersama ustaz Lutfi. Seperti biasa, ustaz suka memberi sedikit nasihat sebelum sesi pembelajaran bermula. Pagi itu, ustaz bertanya, kenapa ramai pelajar tidak memakai mask. Ustaz menyatakan bahawa memakai mask pada waktu sekarang adalah perlu. Ia penting bagi mengelakkan kita terdedah kepada jangkitan virus. Perlu dan wajib bagi kita menjaga nyawa. Ana tunduk faham maksud ustaz. Ustaz meneruskan nasihat. Kami diam membisu, mengiakan teguran ustaz. Beberapa minit sebelum menamatkan nasihatnya, ada ungkapan emas dari ustaz yang mungkin ana tidak akan lupakan selamanya.
"What are so special about you?" 

Tersentap ana dengan kata-kata ustaz tu.  Benar kata ustaz. Apa yang istimewanya kami, sampai tidak memakai mask? Adakah kami begitu istimewa sehingga kebarangkalian diserang virus adalah 0? Tidak, bahkan tidak akan pernah ada. Tiada perkara yang membuatkan kami istimewa. Kami juga insan biasa. Terdedah kepada sebarang bahaya. Ujian H1N1 adalah untuk semua. Tidak mengira sesiapa. Seorang sahabat ana di KUSZA dahulu juga telah terkena virus ini dan telah pergi mendahului kami. Moga rohnya tenang di sana. Sangat baik orangnya.

Apapun, ujian Allah adalah tepat. Segalanya berlaku kerana kasih sayangNya. Kita sebagai hamba harus Redha dengan segala ujian, kerana kita adalah HAMBANYA, bukan TUAN. Selayaknya kita di uji. Namun, ambillah iktibar dari segala yang berlaku. 

Bersyukur ana atas nikmat yang Allah kurniakan. Nasihat ustaz cukup memberi kesan dalam hidup. Moga ada banyak lagi ibrah yang  boleh dipelajari. Ibrah mematangkan. Dengan ibrah, hidup jadi terarah.

AllahuRabbi.

Ana kagum dengan ustaz


Assalamualaikum… Salam penuh kesyukuan..
Alhamdulillah, berkat rahmat kasih sayangNYA, di kesempatan ini, ana masih diberi kesempatan ruang dan masa,untuk sama-sama  berkongsi sedikit cerita ibrah yang ana rasa sangat-sangat memberi impak yang besar dalam hidup ana sebagai muslim. Moga-moga  ada manfaat yang dapat di ambil, ada pengajaran yang dapat diteladani, insyaAllah.

Kisah ini terjadi sewaktu ana masih di semester ke 3,  USIM.  Hari itu adalah hari Rabu, hari yang sangat-sangat ana tunggu. Hari yang bakal menemukan ana dengan seorang ustaz kesayangan ana. Ustaz Lutfi Mohd Zain namanya, ustaz dari Makkah. Ibunya berketurunan arab, ayahnya dari kedah. Ana sangat mengkagumi Ustaz Lutfi. Dia mengajar ana subjek Tarikh Mazahib (Sejarah Mazhab-Mazhab ) pada waktu itu. Sebenarnya, ana tak belajar tutorial dengan ustaz Lutfi,tapi ana menumpang kelasnya. Ustaz sudah maklum, ana memang suka tumpang kelas ustaz jika ada peluang. Alhamdulillah, ustaz amat mengalu-alukan. Itu antara sebab ana mengkagumi ustaz. Bagi ustaz, pelajar patut mencari ilmu walau di mana pelajar itu berada. Etika sebagai pelajar muslim amat-amat ditekankan oleh ustaz. Banyak sebab yang meyakinkan ana untuk mengkagumi ustaz. Beliau masuk ke kelas tanpa sebarang buku. Beliau juga umpama kitab bergerak. Semua maklumat yang akan diajar ada di dalam hati dan akalnya yang cukup cergas. Alunan indah dan puji-pujian kepada pelajar sentiasa meniti di bibirnya. Hebat. Sewaktu beliau memberi penerangan, tiada pelajar dibenarkan menggerakkan tinta emas mereka. Ustaz akan memperuntukkan masa untuk kami menyalin notanya. Semua perlu mendengar dengan teliti. Jika ada yang tidak memahami penerangan ustaz, ustaz izinkan kami terus menyoal. Kata ustaz, jika ustaz perlu ulang sampai kali ke 100, ustaz akan ulang. Apa yang penting kami faham. Subhanallah..kagum ana. 

Sebut saja nama Ustaz Lutfi, pelajar Syariah Undang-undang takhossus Fiqh Fatwa memang kecut perut. Jika pada hari esok ada subjek ustaz, memang kami tak tidur malam. Semua bersengkang mata menghafal point-point untuk dijawab. Cukup mengerikan seandainya diri terpilih untuk menjawab soalan ustaz. Ustaz sangat ditakuti, tapi ana mengkaguminya. Semua akan diam umpama tidak bernafas bila ustaz masuk ke kelas. Buku Fatwa,karangan Dr Syeikh Husin Mohd Mlah, setebal 1022 mukasurat sedia terhidang di depan semua pelajar besama nota-nota yang sudah hampir lebu kerana selalu dibelek. Kami bersedia menjawab sebarang kemungkinan soalan yang bakal dilontar. Mata-mata kecil tak berkedip lagi.

“Hal qaro’tum am la?”(Adakah kamu sudah membaca atau tidak?)
“Qoro’na” (Kami sudah  baca)
Qolil am kasir?(banyak atau sikit?)
Suasana kembali sepi. Pelajar kebungkaman. Semua ketakutan.
“Man lam yaqro’ au yaqro’ qolil, ukhruj!!!” (Siapa tak membaca atau membaca sedikit sahaja, sila keluar!!)

Rata-rata pelajar akan keluar bila tiba ayat ini. Sebenarnya,mereka dalam dilema. Sekiranya soalan diajukan, tapi andai diri gagal menjawab, lagi parah akibat menanti. Aduh.. ana diam.
Pernah dalam satu-satu kelas, hanya tinggal 10 pelajar daripada 30 orang. Melihat kelibat pelajar ‘di halau’ adalah terlalu biasa bagi kelas ustaz Lutfi.

MOTIF
Apa motif ustaz buat begitu? Suatu hari, ustaz pernah menyatakan rasa kecewanya di dalam kelas. Ustaz bertanya kenapa ramai yang keluar bila ustaz bertanyakan soalan sebegitu? Kami diam. Luah ustaz, jauh di sudut hatinya, beliau sangat-sangat mengharapkan tiada pelajar yang keluar. Kata ustaz, beliau ingin melihat keyakinan pelajar terhadap ilmunya. Ustaz sangat berbangga dengan pelajar –pelajar yang tidak keluar. Ustaz lagi gembira apabila ada pelajar yang tidak keluar, tetapi apabila ditanya dia gagal menjawab kerana itu tanda dia berani mengambil risiko. Sebenarnya ustaz tidak kisah samada kami berjaya menjawab atau tidak. Apa yang ustaz cuba ajar adalah  erti kesediaan, keberanian dan kesungguhan. Itulah harapan ustaz dari kami. Jangan mudah mengalah bila diuji. Saat pejuang mula menemui kekalahan adalah apabila dia mula merasa kecewa dan lemah  dalam perjuangannya, dan saat  pejuang mula menemui kejayaan adalah apabila dia mula melawan perasaan itu. Akhirnya kami mengerti.
Hakikat diri sebagai pelajar menuntut kita untuk belajar erti pengorbanan, penghormatan, kesungguhan, keberanian, kesediaan, ketahanan dan pelbagai lagi. Sebagai pelajar, kita belajar dari pengalaman. 

IBRAH
Dalam hidup ini, kita (ana fokuskan kepada anak muda )belajar dari guru.  Sebagai anak muda, kita mesti belajar daripada guru melalui 2 peringkat manusia. Pertama adalah orang yang sebaya dengan kita. Kita belajar dari kawan-kawan, atau adik-adik yang umurnya lebih kurang macam kita. Dari situ kita dapat ilmu. Kedua, kita belajar daripada orang tua. Mereka banyak pengalaman. Kita tidak akan mampu mengetahui dan merasai sesuatu melainkan apabila ada orang yang pernah melaluinya menceritakan kepada kita. Dari situ kita akan dapat pengalaman. 

Jika diperhatikan ayat Al Quran, Allah sentiasa menggabungkan kalimah Alim dan Hakim. Siapa golongan Alim? Merekalah orang-orang alim yang mengajar kita tentang ilmu. Mungkin sahabat-sahabat kita. Mungkin juga adik-adik kita di rumah.Mata mereka adalah mata ilmu.Tapi cukupkah dengan ilmu sahaja? Ilmu semata-mata tidak memungkinkan kita untuk menilai sesuatu dengan tepat. Sebab itu kita memerlukan pengalaman orang yang lebih tua. Itulah golongan Hakim. Pengalaman mereka mengajar kita membuat penghakiman dengan tepat. Mata mereka adalah  mata penghakiman. Akhirnya, apabila kita menggabungkan kedua-dua elemen ini, alim (ilmu)dan hakim (penghakiman daripada pengalaman),kita akan mampu menilai dan meneliti sesuatu perkara dengan cukup baik, maka akan terzahirlah keagungan ilmu yang sebenar.
Ayuh, pesan ana pada diri dan sahabat, lapangkan dada kita dalam soal menuntut ilmu ini. Ambillah ilmu yang baik  dari sesiapa sahaja selama mana ia bernama ilmu yang baik. Kerana ilmu tidak pernah memilih tuan. Ilmu milik mereka yang berusaha. Ia umpama tongkat si buta, maka andai kita temui ilmu, kutiplah ia walau di mana, walau dari mana. Namun awas, jika “di mana” dan “dari mana” tidak menjadi persoalan, tetapi jangan lupa “ke mana” akan kita bawa ilmu itu,ia pasti menuntut satu jawapan yang haq.

“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaian”-HAMKA.

Wallahu A’lam..
Allahu Rabbi.