marquee

Saturday, July 16, 2011

Kesan pemakaian organ dan tisu binatang terhadap solat

Assalamualaikum..lagi. dipetik dari: sini  www.paranorms.org..moga ada manfaat bersama..:)

by Temma on Sun Jul 05, 2009 12:30 pm
Perkaitan Ibadah Solat dan Organ Gantian

Perbincangan mengenai pengamalan ibadat solat merupakan suatu perkara begitu penting di dalam kehidupan setiap orang yang beriman. Hal ini kerana kewajipan menunaikan ibadat seperti solat adalah suatu yang tidak boleh dikompromi kerana ibadat adalah pemangkin kepada keteguhan dan kekebalan iman dan akidah yang merupakan nadi kepada agama yang juga merupakan perkara pertama dan utama dalam prinsip-prinsip syariah. Oleh kerana orang Islam wajib melaksanakan beberapa aktiviti ibadat yang berbentuk harian seperti solat, maka perbincangan berkaitan topik ini amat mustahak di mana di dalamnya diutarakan pandangan ulama Islam dan turut dikemukakan beberapa cadangan sebagai penyelesaian kepada mereka yang terlibat.

Terdapat pesakit yang terpaksa memakai alat ganti atau organ daripada binatang termasuklah daripada binatang yang haram dimakan. Dalam sesetengah situasi, pesakit juga terpaksa menerima organ daripada orang lain bagi menyembuhkan penyakit yang dihadapi. Dalam dua keadaan ini, apakah sikap Islam dalam menyelesaikan persoalan ibadat dan bersuci (thaharah)?

Hasil Organ Gantian Yang Tidak Memberangsangkan

Lapangan perubatan moden hari ini kian bertambah maju dengan wujudnya organ-organ gantian yang diambil daripada binatang sebagai menggantikan organ atau tisu yang rosak pada tubuh manusia. Sebenarnya ketika era pemerintahan Abbasiyyah, pakar-pakar perubatan Islam telah pun mengkaji dan meneroka penggunaan organ binatang untuk kegunaan manusia. Zakariyya al-Qazarini (600-682 H/ 1203-1283 M) telah mengasaskan penggunaan tulang-tulang babi untuk merawat pesakit yang bermasalah tulang.

Percubaan melakukan pemindahan organ atau tisu haiwan kepada manusia dalam zaman moden ini telah bermula sejak 46 tahun yang lalu di mana sebanyak 30 percubaan telah dijalankan. Namun, kesemuanya gagal dan berakhir dengan kematian pesakit beberapa jam hingga menjangkau kepada beberapa bulan selepas pembedahan menurut sumber laporan yang diterbitkan oleh University of Pittsburg, Pennsyvania, Amerika Syarikat. Contohnya pada bulan Februari 1966, Jeff Getty penghidap AIDS telah diberikan sel daripada sumsum tulang babun. Rawatan tersebut menampakkan peningkatan terhadap kesihatannya. Malangnya, ia tidak bertahan lama dan pembedahan tersebut tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan kerana tidak banyak sel kekebalan babun dapat hidup dalam badan manusia. Walaupun percubaan tersebut tidak menampakkan kejayaan penuh, namun apa yang lebih penting, ianya menjadi pembuka jalan kepada penerokaan baru dunia perubatan terhadap penggunaan alat gantian daripada binatang.

Menurut laporan penyelidikan yang telah dijalankan, pemindahan organ haiwan kepada manusia masih gagal ditangani dengan baik, malah tindakan tersebut telah mengundang risiko yang tinggi kepada kematian pesakit. Para saintis mendapati bahawa tisu dan darah babun mempunyai sejenis virus yang berbahaya kepada tubuh manusia. Contohnya, virus HIV yang dideritai oleh pesakit AIDS mempunyai versi yang sama dengan virus SIV (Simian Immunodeficiency Virus) yang menjangkiti monyet-monyet di Afrika. Hal ini terbukti melalui kajian yang dibuat pada tahun 1967 ke atas ginjal monyet mendapati sejenis virus yang sangat berbahaya wujud dalam ginjal tersebut. Virus tersebut dikatakan pernah menjangkiti beberapa individu yang akhirnya mengakibatkan kematian.

Apa Kata Islam dalam Perkara Ini?

Di Malaysia, pakar-pakar sains dari Universiti Sains Malaysia dan Bank Tisu Negara juga telah berjaya menemui tisu graf amnion daripada kulit kambing yang boleh menyembuhkan pelbagai kesan luka termasuk kesan lecur akibat kebakaran khususnya di bahagian muka. Alat ganti tubuh manusia ini dihasilkan melalui gabungan tisu selaput uri (plasenta) kambing dan sinar gamma (dari teknologi nuklear) yang dipancarkan kepada pesakit. Bagi menjawab persoalan apakah hukum solat seseorang pesakit yang memakai alat gantian organ ini yang najis seperti diambil daripada bangkai atau daripada najis mughallazah seperti babi dan sebagainya, sebenarnya terdapat beberapa ayat al-Quran yang mengharamkan penggunaan bahan najis. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Baqarah: 173)

Firman-Nya lagi yang bermaksud :

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya), binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul,
dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih
(sebelum habis nyawanya).
(Surah al-Maidah: 3)

Nas-nas di atas dengan jelas mengatakan bahan-bahan najis adalah sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan. Pengharaman tersebut bukan sahaja untuk tujuan makanan, tetapi juga meliputi perkara-perkara lain termasuklah perubatan. Pengharaman tersebut akan terangkat dan harus di dalam keadaan keadaan darurat sepertimana yang disebutkan di akhir kedua-dua ayat tersebut.

Darurat Atau Tidak?

Terdapat perbezaan yang ketara antara orang yang berada dalam keadaan kelaparan yang amat sangat dan tiada makanan lain untuk dimakan kecuali makanan-makanan yang haram dengan orang yang sakit. Orang yang pertama diharuskan memakan makanan yang haram kerana dia berada dalam darurat seperti yang disebutkan dalam kedua-dua nas di atas. Jika kelaparannya tidak sampai ke tahap darurat, maka dia tidak harus memakan makanan yang haram. Berbeza dengan orang yang sakit, dia boleh menggunakan bahan-bahan yang haram bertujuan untuk perubatan semasa darurat dan hajat (peringkat yang tidak sampai kepada darurat). Oleh itu, penggunaan anggota, organ dan tisu palsu oleh pesakit mempunyai tiga keadaan ;

Pertamanya ; penggunaan ketika darurat, ia diharuskan berdasarkan keumuman dua firman tersebut. Sekiranya bahan-bahan najis harus dimakan ketika darurat, maka penggunaan alat palsu yang diperbuat daripada bahan-bahan najis lebih wajar diharuskan kerana ia tidak melibatkan pemakanan tetapi penggunaan sahaja.

Keduanya ; penggunaan alat palsu yang dihasilkan daripada bahan-bahan najis semasa hajat diharuskan jika anggota, organ atau tisu tersebut memang suatu yang diperlukan untuk melengkapkan kehidupan hariannya.

Ketiganya ; penggunaan anggota, organ atau tisu palsu yang diperbuat daripada bahan-bahan najis tanpa ada keperluan dan hajat untuk diri dan kehidupan adalah tidak diharuskan kerana ia mengganggu ibadat solat yang disyaratkan supaya dikerjakan di dalam keadaan bersih dan suci daripada segala najis.

Walaubagaimanapun, terdapat fatwa lain daripada sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengatakan najis yang bertukar rupa dan bentuk asalnya serta hilang sifat-sifat kenajisannya (bau, warna dan rasa), maka kenajisannya gugur dan dengan itu ia bukan lagi dianggap najis. Justeru, anggota, organ atau tisu palsu yang diperbuat daripada bahan-bahan najis tidak dianggap najis lagi kerana ia telah bertukar rupa, bentuk dan sifat-sifat asal najis. Dengan itu, ia boleh digunakan tanpa perlu tertakluk kepada keadaan darurat atau hajat seperti yang dihuraikan. Fatwa ini jelas bercanggah dengan pandangan di atas yang dinyatakan dengan jelas najis adalah najis walau apa keadaan sekalipun. Namun begitu, dalam keadaan tertentu dibenarkan penggunaannya semata-mata kerana darurat atau hajat.

Sekiranya anggota, organ atau tisu diambil daripada binatang yang halal tetapi tidak disembelih, terdapat perbezaan pendapat mengenainya. Menurut pandangan mazhab Hanafi, anggota atau bahagian badan bangkai binatang yang keras dan tiada pengaliran darah seperti tulang, tanduk, gigi, kuku dan sebagainya adalah tidak najis. Alasan yang diberikan ialah sebab kenajisan anggota atau bahagian bangkai kerana wujudnya kotoran-kotoran cecair seperti darah dan lender-lendir yang ada pada anggota tersebut manakala anggota atau bahagian binatang yang keras tidak terdapat kotoran tersebut.

Mazhab Syafi’i dan jumhur ulama pula berpandangan semua bahagian bangkai adalah najis termasuklah bahagian yang keras. Berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, sekiranya terdapat anggota atau bahan lain yang bersih dan boleh digunakan pesakit, maka penggunaan anggota atau bahagian tertentu daripada bangkai adalah tidak diharuskan kerana ia akan mengganggu ibadat solat yang hanya sah dilakukan dalam keadaan bersih sahaja. Jika seseorang yang menggunakan apa-apa anggota atau bahagian bangkai sebagai bahan gantian pada tubuhnya, kemudian selepas itu dia mendapati sesuatu gantian lain yang bersih dan suci, maka terdapat perselisihan pendapat di dalam mazhab Syafi’i, iaitu ;

1. Dia wajib mencabut apa-apa bahagian najis yang digunakannya sekiranya tindakan tersebut tidak mendatangkan sebarang mudarat pada dirinya. Jika ia tidak mendatangkan kesan buruk, maka dia tidak perlu mencabutnya lagi.

2. Dia wajib mencabut bahagian tersebut walaupun tindakan tersebut mendatangkan mudarat kerana ia telah melampaui had-had halal. Pandangan pertama adalah pandangan muktamad di dalam mazhab Syafi’i disebabkan oleh ketiadaan unsur-unsur ‘melampaui batas’ di dalam kes ini kerana ia dilakukan ketika anggota yang bersih dan sesuai tiada.

Penulis berpandangan bahawa pendapat yang mengatakan objek-objek keras yang diambil daripada bangkai binatang adalah tidak najis adalah pandangan yang kuat lantas ia diharuskan sebagai organ gantian dalam badan manusia tanpa dibatasi oleh darurat. Namun, penggunaan tersebut syaratnya mestilah ianya tidak memudaratkan tubuh badan pesakit. Anggota, organ atau tisu binatang yang tudak disembelih dan bersifat lembut seperti jantung, hati dan lain-lain, penggunaannya tidak diharuskan kecuali semasa hajat dan darurat sahaja kerana kesemua organ tersebut adalah najis di sisi semua mazhab. Penggunaan anggota, organ dan tisu yang diambil daripada binatang yang haram dimakan juga sama hukumnya dengan penggunaan angota, organ dan tisu bangkai yang halal dimakan kecuali anjing dan dan babi.

Berkaitan anggota, organ dan tisu babi, Imam al-Qurtubi mengatakan tiada perselisihan di kalangan ulama tentang kenajisan seluruh badan babi melainkan bulunya sahaja. Malah, terdapat sebahagian ulama yang membenarkan penggunaan bulunya. Akan tetapi, kebanyakan ulama termasuk mazhab Syafi’i mengharamkan penggunaan bulu haiwan tersebut. Dalam hal kenajisan anjing pula, para ulama bercanggah pendapat di mana mazhab Syafi’i dan Hanbali menganggap anjing binatang yang najis ‘ain (tubuh badan) termasuklah air liur dan peluhnya. Dalil yang menunjukkan kenajisannya ialah sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :

“Apabila anjng menjilat bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dibasuh bekas tersebut tujuh kali, salah satu daripadanya air bercampur tanah.”

Pandangan yang muktamad di dalam mazhab Hanafi pula menganggap bahawa anjing bukan najis ‘ain, tetapi yang najis hanya mulut dan air liurnya sahaja berasaskan hadith di atas yang hanya mengkhususkan basuhan tujuh kali pada jilatan sahaja. Ulama daripada mazhab Maliki pula berpendapat anjing tidak najis sama seperti binatang-binatang lain. Berhubung dengan hadith di atas, mereka mengatakan basuhan tersebut hanya sebagai suruhan ta’abbudi (semata-mata perintah agama tanpa sebab). Pandangan mazhab ini bertepatan dengan keumuman ayat al-Quran yang bermaksud :

… dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu.
(Surah al-Maidah: 4)

Ayat ini membenarkan seseorang memakan hasil buruan yang menggunakan anjing dan menyatakan kenajisan binatang itu yang dijadikan alat memburu. Firman ini juga datang tanpa diterangkan kewajipan membasuh buruan yang digonggong oleh anjing. Justeru, ayat ini sudah tentu menguatkan lagi pandangan mazhab Maliki.

Kesimpulan

Kesimpulan daripada perbincangan di atas ialah penggunaan apa-apa anggota anjing yang keras seperti tulang, kuku dan seumpamanya tidak dibenarkan sama sekali kecuali dalam situasi darurat berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh mazhab Syafi’i dan Hanbali. Namun, pandangan yang lebih dominan di dalam mazhab Hanafi dan Maliki, penggunaan apa-apa anggota atau bahagian anjing yang keras adalah dibenarkan sekalipun tiada darurat untuk berbuat demikian. Adapun bahagian dalaman yang bersifat lembut, penggunaannya pula mestilah dibatasi dengan darurat atau hajat kerana organ atau bahagian tersebut adalah najis di sisi semua mazhab kerana ia daripada bahagian bangkai yang diselaputi oleh kotoran-kotoran cecair. Oleh itu, penggunaannya dihadkan ketika hajat atau darurat sahaja. Mazhab Maliki menganggapnya sebagai najis kerana ia adalah cecair binatang yang merupakan najis walaupun binatang itu sendiri adalah suci.


Back to top

Pemindahan Organ Khinzir Kepada Manusia

Assalamualaikum..satu lg perkongsian..ana ambil dari: al-hujjahsyariah.blogspot.com
moga ada maklumat blh dimanfaatkan bersama..

http://www.drhayei.com/2010/08/isu-isu-syariah.html

SOALAN

Apa pandangan Ustaz tentang pendermaan organ dan adakah masyarakat di Malaysia yang beragama Islam boleh mengamalkannya. Adakah ianya bertentangan ajaran Islam. Apakah akibatnya seseorang muslim menderma organnya kepada orang bukan muslim dan sebaliknya. Bolehkah pendermaan organ ini melibatkan organ khinzir kerana didapati organ khinzir lebih dekat persamaannya dengan organ manusia.

- Abdul Qahhar AW

JAWAPAN
Saudara Abdul Qahhar, Saya tidak mempunyai pandangan khusus dalam perkara ini, tetapi saya boleh jawab di sini patwa-fatwa yang say abaca dari beberapa lamanweb yang dikendalikan oleh beberapa ulama pada peringkat antara bangsa. Apa yang saya baca dan fgaham ialah pendermaan organ antara masalah masa kini yang memerlukan ijtihad dari para ulama dan pakar-pakar perubatan Islam. Sepanjang yang saya ketahui, ulama silam belum membincang masalah ini secara lanjut dan terperinci, kerana kes-kes pendermaan organ tidak berlaku pada zaman mereka. Bagaimanapun beberapa tokoh ulama semasa, seperti Dr. Ahmad al-Syarbasi, Syeikh Mutawalli al-Sya`rawi, Dr al-Qaradawi dan lain-lain pernah mengutarakan pendapat peribadi masing-masing. Saya cuba menelaah dan mengutip pandangan-pandangan mereka yang saya anggap bernas dan positif.

Pada dasarnya insan dicipta Allah supaya hidup bahagia, sihat, tidak menderita kesusahan dan keperitan. Jika badan ditimpa sakit, hendaklah dicari ubatnya, jika hidup susah hendaklah dicari jalan-jalan membahagiakannya.

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ [البقرة:158]

Terjemahan: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan tidak menghendaki kamu beroleh kesusahan (al-Baqarah: 185).

Pendermaan organ dan transplant anggota manusia pada manusia, adalah antara usaha dan langkah yang diambil para doktor bagi memulihkan kesihatan dan kekuatan kepada badan pesakit. Tujuan ini memang serasi dan tidak bertentangan kaedah-kaedah umum dalam Islam.

Menurut Dr al-Syarbasi: Ramai ulama berpendapat, jika pesakit itu memerlukan darah untuk meneruskan hayatnya, maka harus memindahkan darah daripada badan orang yang sihat kepada badan pesakit yang memerlukannya. Ulama juga mengharuskan pemindahan mata daripada insan yang sudah mati kepada yang masih hidup, jika pemindahan sangat diperlukan. (Yasalunak fi al-Din wa al-Hayat, 1/602)

Bagaimanapun, pemindahan itu tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya, ia diharuskan hanya apabila keadaan sangat terdesak dan tiada lagi jalan lain yang boleh menyelamatkan hidup di samping syarat-syarat lain, antaranya penderma hendaklah dipastikan kematiannya terlebih dahulu, cukup keserasian antara anggota penderma dan penerima, diyakini atau sekurang-kurangnya sangkaan berat terhadap kejayaan pemindahan dan hendaklah melalui nasihat doktor pakar dalam bidang berkenaan.

Perlu diambil perhatian, keharusan yang diberi hanya apabila keadaan benar-benar terdesak atau darurat seperti yang ditakrifkan dalam kaedah Usul al-Fiqh. Ini bermakna pesakit tidak boleh mengguna lebih daripada kadar yang diperlukannya. Keadaannya sama dengan seorang yang terpaksa mengambil makanan yang haram dimakan, ia tidak harus mengambil lebih daripada keperluan bagi meneruskan hayatnya sahaja.

Pendermaan organ orang Islam kepada bukan Islam atau sebaliknya, tidak ada apa yang harus diragui, kerana organ-organ itu tidak boleh disifatkan sama ada muslim atau bukan muslim. Organ hanya bagaikan alat yang sama ada baik atau buruk bergantung sepenuhnya pada pengguna. Jika ia dipindah daripada orang kafir kepada orang Islam, dengan sendirinya menjadi anggota orang Islam yang tunduk kepada budaya dan cara hidup Islam. Organ itu akan diguna untuk salat dan ibadat kepada Allah.

Menurut Dr. al-Qaradawi: Anggota-anggota badan tidak memberi kesan kepada kekufuran atau keislaman seseorang, malah al-Qalb (hati) yang pernah disifat dalam al-Qur`an sebagai, sakit, sihat, hidup dan mati adalah merujuk kepada hati yang dirawat para doktor perubatan. Hati ini lain maksudnya dengan al-Qalb yang disifatkan sebagai beriman dan kufur, yang lebih memihak kepada aspek kerohanian yang menjadikan manusia samada sedar, berakal, berfikir atau sebaliknya (Fatawa Mu`sirah, 2/538).

Bagaimanapun derma kepada kafir harbi (yang tidak diikat sebarang perjanjian damai antara mereka dengan orang Islam) dan yang dipercayai hidupnya memusuhi Islam dan masyarakatnya, ulama berpendapat, organ tidak harus diderma kepada mereka. Bagaimana pendermaan harus diberi kepada mereka, sedangkan jika ia hidup sihat, akan digunakan tenaganya bagi mengkhianati Islam, sebagaimana pedang tidak harus dijual kepada bukan Islam yang dipercayai akan digunakan bagi memerangi umat Islam.

Tentang penggunaan atau pemindahan organ haiwan kepada badan manusia, seperti khinzir yang dihukum najis oleh al-Qur`an, kalaupun ia boleh dilakukan, maka hanya ketika terpaksa dan darurat sahaja, dengan kadar yang sangat terhad.

Al-Qur`an menyebut perkataan khinzir pada beberapa tempat. Iaitu dalam surah al-Baqarah, ayat 173, al-An`am, ayat 145 dan al-Nahl, ayat 115. Semuanya menyebut lahm al-khinzir (daging babi). Menurut Fuqaha`, daging yang dimaksudkan itu, meliputi seluruh badan dan juzuk-juzuk khinzir, tanpa kecuali. Namun begitu, ayat-ayat itu disebut khusus kepada makan, sedangkan yang dibicarakan di sini bukan makan tetapi mengguna, mengambil faedah atau transplant menurut istilah dalam perubatan moden.

Ulama semasa lebih cenderung berpendapat harus mengambil faedah daripada organ khinzir itu, kerana najis itu jika tertanggung pada luar badan, tetapi jika ia ditanam dalam badan manusia, maka lain pertimbangannya. Ini kerana dalam badan manusia memang banyak najis yang sedia ada, seperti tahi, darah dan sebagainya, walaupun begitu, tiada halangan bagi seseorang bersalat, membaca al-Qur`an, tawaf dan sebagainya, kerana najis itu ada dalam badan.

Dalam sebuah hadis Sahih meriwayatkan, Nabi saw menyuruh agar kulit bangkai kambing itu dimanfaatkan, setelah disamak bersih, walaupun diberitahu baginda bahawa kambing itu sudah menjadi bangkai, namun nabi tetap menyatakan, bangkai itu hanya haram dimakan, tetapi kulitnya boleh dimanfaatkan setelah disamak. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakah. Muslim, Kitab al-Haid)

Sebagai kesimpulan jawapan kepada soalan di atas, pemindahan anggota manusia boleh dilakukan, jika ada sebab dan keperluan yang mendesak, sama ada pemindahan sesama Islam atau kepada bukan Islam yang hidupnya tidak mengancam Islam dan masyarakatnya. Demikian juga dengan organ khinzir, ia harus dimanfaatjkkan, jika tiada lagi jalan lain bagi menyelamatkan hayat seseorang pesakit. Wallahu A`lam.

Pemindahan Organ : Risiko Jangkitan Penyakit

 Assalamualaikum.. maaf, ingin ana kongsi sedikit maklumat. ia sebahagian dari bahan tesis yang akan ana kaji.. insyaAllah, mudahan ada manfaatnya..

Artikel ini di ambil dari: http://www.sihatselalu.com.my/2010/07/pemindahan-organ-risiko-jangkitan.htmlI (sihat selalu) klik sini ..


oleh Hafizah Iszahanid
18 Julai 2010


KUALA LUMPUR : Hampir 1,000 rakyat Malaysia yang membeli dan melakukan pembedahan organ di China dan India berdepan risiko jangkitan penyakit seperti hepatitis B, radang hati, HIV selain komplikasi organ baru tidak berfungsi, sekali gus boleh membawa maut.





Keadaan ini berlaku disebabkan pengambilan ubat-ubatan anti-penolakan yang tidak betul selain tiada pemantauan rapi kesesuaian organ penerima dan penderma sebelum pembedahan dilakukan kerana urusan jualbeli didalangi sindiket.







Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!



Sindiket


Situasi itu lebih parah selepas China mengharamkan pemindahan organ daripada warga negara itu kepada rakyat asing sejak 2008, manakala India mengambil langkah sama pada 1994. Sebelum pengharaman itu, proses pemindahan organ dilakukan dalam bentuk 'hitam putih' bagi memudahkan rawatan susulan di negara asal.


Sejak 2000, seramai 856 rakyat negara ini memperoleh organ dari China, 64 dari India, 16 dari negara lain seperti Russia dan Australia manakala dua lagi tidak diketahui. Kebanyakan mereka membayar kepada sindiket antara RM70,000 hingga RM250,000 untuk satu buah pinggang.



Ketua Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Ghazali Ahmad ketika mendedahkannya, berkata baru-baru ini pihaknya mengesan penerima organ dari sebuah negara luar menghidap hepatitis manakala dua lagi dijangkiti HIV.


Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati kerana jika prosedur pembedahan organ didalangi sindiket, isu keselamatan dan kesesuaian organ yang dipindahkan tidak diambil berat.


"Di Malaysia, pemindahan organ dilakukan dengan piawaian dan pemantauan kesihatan yang sangat ketat. Ia dilakukan di hospital kerajaan seperti Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang selain beberapa hospital swasta," katanya kepada Berita Minggu.



Buah Pinggang


Difahamkan, rakyat Malaysia terpaksa membeli organ terutama buah pinggang di luar negara kerana kesukaran mendapatkannya dalam negara khususnya daripada penderma sukarela.


Sepanjang 2009, seramai 21,169 pesakit buah pinggang bergantung pada mesin dialisis dan daripada jumlah itu, kira-kira 6,000 berada dalam senarai menunggu mendapatkan buah pinggang baru.


Meskipun jumlah pengikrar untuk menderma organ sejak 1997 hingga Mei 2009, seramai 128,556 orang seperti direkodkan Pusat Sumber Transplan Nasional HKL, jumlah penderma sebenar cuma 14 orang setakat Mei 2009.



India dan China


Katanya, trend pesakit Malaysia terutama yang menghidap penyakit buah pinggang mendapatkan organ dari negara luar seperti India dan China sudah dikesan sejak 1990 berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Ketika itu pesakit tertumpu di India sebelum beralih ke China sejak 1992, berikutan tindakan Kerajaan India mengharamkan pemerdagangan organ mengikut Akta Organ Manusia pada 1994.


Dr Ghazali berkata, India dan China tetap menjadi pilihan rakyat negara ini mendapatkan organ meskipun kedua-dua negara sudah mengharamkannya. Ini berdasarkan rekod Daftar Dialisis dan Transplan Malaysia yang merekodkan 109 pemindahan organ sepanjang 2009 tetapi hanya 63 dilakukan di Malaysia, manakala selebihnya di luar negara terutama di China dengan 38 kes.



Kesan Negatif


"Kegiatan sindiket jualan organ ini memberi kesan negatif kepada pesakit dan juga belanjawan sistem penjagaan kesihatan Malaysia keseluruhannya. Misalnya, apabila berlaku komplikasi seperti organ baru tidak berfungsi, mereka mendapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan.


Tanpa rekod perubatan, kita sukar mengetahui keadaan sebenar pesakit apabila dia berdepan komplikasi terutama jika pesakit tidak bertindak balas dengan ubat anti-penolakan. Malah apabila berlaku jangkitan disebabkan penolakan, mereka memerlukan ubat khusus yang mencecah ribuan ringgit," katanya.


"Ada kes, hospital terpaksa menggunakan peruntukan hingga RM20,000 sebulan untuk rawatan susulan terhadap seorang pesakit saja, kerana komplikasi jangkitan disebabkan penolakan organ baru sedangkan jumlah itu boleh diagihkan kepada pesakit lain yang lebih memerlukan," katanya.




Lagi info tentang PEMINDAHAN ORGAN di sini.