marquee

Tuesday, July 26, 2011

Srikandi Agung, Saydatina Rabiatul Adawiyah..



Assalamualaikum..
Alhamdulillah ala kulli nikmah..Nikmah sihhah, wal barakah was salamah..Ashkuru lillah.. Ingin ana kongsi sedikit cebisan ilmu yang ditemui. Kali ini mengenai seorang srikandi agung, sangat ana kagumi, hormati dan seikhlasnya, tiada kalimah yang layak menggambarkan kemuliaan peribadinya.. Itulah Saydatina Rabiatul Al-Adawiyah... Subhanallah.. Nama beliau adalah Rabiah, manakala Adawiyah adalah ayahnya.. Teruslah mengkaji berkenaan riwayat srikandi mulia ini..

Pun begitu, ingin ana kongsi beberapa untaian doa dan kalimat yang sering meniti di bibir srikandi ini.. Moga ada manfaat yang terus mengalir daripadanya..

Ana telah mengambil sdikit ilmu daripada video ini...boleh download untuk banyak lagi perkongsian ilmiah..


***
Credit to: video made by: al_farisi25.upsi.murabbi.my

*Doa Perindu Cinta ILAHI..

Ya Allah..
Apa saja yang akan Kau kurniakan kepadaku berkenaan dunia,
Berikanlah kepada mereka yang memburunya..
Dan apa saja kebaikan yang akan kau kurniakan kepadaku berkenaan akhirat,
Berikanlah kepada hambaMu yang beriman
Kerana Aku hanya mahukan kasihmu Tuhan..
Wahai Allah..
jika aku beribadah kerana SyurgaMU..
Janganlah Engkau masukkan aku ke dalam syurga
Andai aku beribadah kerana takutkan nerakaMU
Maka lemparkan aku ke dalamnya..
Tetapi wahai Tuhanku..
Jika aku beribadah kerana inginkan keredhaanMU,
Maka jangan Engkau sia-siakan daku..

*Ucapan Srikandi Rabiatul Adawiyah di tengah kesunyian malam tatkala bermunajat pada Allah:

Ya Allah Ya Tuhanku..
Aku berlindung diri kepada Engkau,
Daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripadaMU,
Daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau.

Tuhanku,
Bintang-bintang telah menjelma indah,
Mata telah tidur nyeyak,
 Semua pemilik telah menutup pintunya
Dan inilah dudukku di hadapanMU.

Tuhanku,
Tiada kudengar suara binatang mengaum,
Tiada desiran pohon bergesel,
Tiada desiran air yang mengalir,
Tiada siulan burung menyayi,
Tiada nikmatnya teduhan yang melindungi,
Tiada tiupan angin yang nyaman,
Tiada dentuman guruh yang menakutkan,
Melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti KEESAANMU
Dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamaiMU.

“Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapanMU. Maka moga-moga Engkau berikan satu pandangan kepadanya yang akanmenahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepadaMU.”

“Jika aku menyembahMu kerana takut daripada api nerakaMU, maka bakarlah aku di dalamnya
Jika aku menyembahmu kerana tamak kepada syurgaMU, maka haramkanlah aku daripadanya.
Tetapi jika aku menyembahMU kerana kecintaanku kepadaMU, maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajahMU yang MAHA BESAR dan MAHA MULIA itu”
-Srikandi Agung, Saydatina Rabiatul Adawiyah..
***
Ya Allah, jadikanlah aku hambaMu yang memiliki hati seikhlas saydatina Rabiatul Adawiyah..
Mencari dan terus mencari cinta MU..

Tiada kalimat mampu kugambarkan berkenaan dirimu..wahai Srikandi Agung, Saydatina Rabiatul Adawiyah..

Allahu Rabbi..

Thursday, July 21, 2011

Satu Cermin Beragam Gambar

Assalamualaikum, alhamdulillah, ingin ana coretkan sedikit ilmu yang telah ana temui hari ini. Dalam perjalanan menuju ke hospital, sambil kereta dipandu laju oleh kakak-kak E, ana tekun membaca sebuah buku. Menjemput Roh Ibadah-Solat, Doa, Zikir, Al-Quran karya Shahriman Wahap-bekas penuntut undang-undang UM. Sejak kebelakangan ini, ana cuba terapkan amalan membaca sebanyak mungkin walau di mana berada. Kerana dari membaca lahirnya tahu, tersingkap rahsia, terselak hikmah. Dengan membaca kita mengetahui rahsia. Subhanallah...

Sedang ana khusyuk membaca, terbelek helaian di muka 52.. Ada ayat yang menarik hati ana, mencetuskan rasa ingin tahu..  Sangat berhikmah.. Ini mesti ana sebarkan, supaya semua TAHU. Dari TAHU mencetuskan MAHU. Di situ bermula satu proses untuk mengiktiraf keagungan ilmuNYA! Ya, IKTIRAF ANUGERAH.
 
Satu Cermin Beragam Gambar

Ikhlas ana coretkan kembali setiap kalimah dalam ruangan ini. Moga ada hati-hati yang dapat mengambil manfaat. Itu matlamatnya. Ilmu mesti disebar.

***
Hati manusia ibarat cermin yang tidak melihat selain yang ada di hadapannya. Semua yang diletakkan di hadapan hati kita akan mampu menguasai gerak-geri kita. 

Jika kita meletakkan harta  di hadapan hati, kita akan melihat dengan jelas harta ini menguasai  segala perbuatan kita dan kita pun menjadi pengikut dan pencinta harta. Lebih jauh lagi, apabila kita meletakkan seorang perempuan yang tidak halal di depan mata, maka kita pun akan jatuh di dalam perbuatan haram. Anehnya, ada beberapa orang yang meletakkan banyak gambar di hadapan cermin hati mereka. 
 
Firman Allah SWT:
 
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia cinta kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik."
(Surah Ali Imran: 14)
 
Dengan keadaan hati yang berhadapan dengan banyak gambar yang saling berhimpitan, mampukah kita menyematkan 'Al-Quran' dan 'cinta Allah' di hadapanNYA? Ya, kita boleh iaitu dengan melazimi solat malam! Melaluinya, kita akan membuatkan cermin hati ini hanya akan menatap satu gambar. 

Orang yang mencuba merasakannya sahaja yang akan mengetahui hakikatnya dan orang yang tahu akan mengakuinya. Ibarat gula; kalau tidak dicicipkan, mana kan dapat merasa nikmat kemanisannya. Bukankah demikian?

***
Subhanallah, setiap kalimah agung ilmu Allah ini telah ana tuliskan, walaupun hakikatnya, hanya tinta emas yang lebih layak untuk menukilkan kalimah para ilmuan ini.

SUNGGUH  ILMUMU AGUNG  YA ALLAH..

Allahu Rabbi...

Jangan cepat nak jadi hebat.

Assalamualaikum..
Bismillahirrahmanirrahim..Alhamdulillah..Syukur padaNYA, memberi kelapangan waktu untuk ana meneruskan zikir-zikir cinta padanya sekalipun melalui tulisan-tulisan bisu seumpama ini. Ada ilmu untuk diterokai, ada pengalaman untuk dikongsi, ada hikmah untuk diteladani. Subhanallah..
 
Terfikir lama membayangkan realiti hidup yang bakal ditempuh. Jaraknya belum pasti, tapi ada  takdir dan ketentuan yang menanti. Mungkin ajal datang menjemput sebelum sempat bertemu esok. Itu janjiNya. Namun kita sebagai hamba, jangan lupa tanggungjawab hidup perlu diurus sebaiknya. Kelak amanah ini mampu dibentang seindahnya tanpa sesalan. Hidup mesti bijak merancang. Merancang masa depan bererti merangcang sebuah kehidupan. Merancang kehidupan terbaik adalah matlamat dan impian hamba, yang belum tahu di mana destinasi akhirnya. Syurga atau neraka. Merancanglah dengan bijak. Ingati Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
 

"Barangsiapa yang amalannya hari  ini lebih baik dari semalam,
dia adalah orang yang beruntung.
 
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
 
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T."
 
 
Untuk coretan kali ini, ingin ana kongsi sedikit idea daripada secebis bacaan yang telah menggegarkan jiwa, memantapkan diri dalam menuju transformasi. Sungguh ilmuNya amat suci. Menyingkap tabir rahsia agung, membuka tirai-tirai keaiban dalam diri yang hanya mampu disedari oleh diri sendiri yang mahu tahu.

Kagum dengan idea penulis Solusi, Ustaz Umar Muhammad Noor-Menjadi kismis sebelum anggur. Isu 30. Benar ideanya. Proses untuk menjadi matang adalah proses yang lama. Ia memerlukan masa untuk menjadi hebat. Lihatlah resmi pokok, sebelum ia menjadi pokok yang mampu mengeluarkan buah yang sangat enak dan berkhasiat, ia telah melalui tempoh yang amat lama untuk menjadi subur dan matang. Bermula dari ditabur benih, kemudian mengeluarkan anak-anak pokok yang kecil, kemudian ia hidup dengan berani, kemudian ia makin tinggi, tetap teguh berdiri walau ditiup angin. Ia tetap teguh dan bersemangat untuk hidup. Kerana ia memang ingin hidup. Hebat, tapi adakah ia membesar dan tumbuh subur dengan cepat? Tidak, bahkan ia menuntut satu tempoh masa yang amat lama untuk matang. Banyak cabaran dan halangan perlu ditempuh untuk menghasilkan buah yang enak.


Begitu juga kita sebagai ahli ilmu. Selagi kita bergelar hamba, selagi itulah kita penuntut ilmuNYA. Perjuangan untuk menjadi ahli ilmu memerlukan tempoh masa yang lama. Bukan mudah untuk menjadi ahli ilmu yang hebat. Kita memerlukan masa untuk memastikan ilmu itu matang dalam diri, agar ia hidup sebati dengan jiwa. Ilmu juga ada rohnya. Andai penuntut sekadar memiliki jasad ilmu tanpa rohnya, ilmu itu pasti mati. Kita memerlukan masa untuk memastikan roh ilmu itu terus subur dan kuat tertunjang dan terpasak dalam diri.

Jangan cepat merasakan kita hebat dan cukup dengan ilmu yang ada. Kita tidak akan mampu menjadi hebat jika kita ingin mendapatkan semuanya dengan cepat. Ia tidak akan masak sebelum sampai waktunya. Ia tidak mampu membesar dengan matang. Lebih malang, ia menghasilkan sesuatu yang buruk. Umpama buah yang tidak melalui tempoh pembesaran yang baik, ia pasti menjadi buah yang tidak enak, tidak cantik, berulat dan kita tidak dapat memanfaatkan buahnya lagi. Kita bimbang ilmu kita kelak tidak mampu memberi manfaat. Hilang keberkatannya.

Jangan cepat nak jadi hebat. Usah melawan fitrah, kelak mudarat tak mampu ditanggung. Biarkan ilmu kita matang mengikut fitrahnya. Bagilah ia ruang masa untuk mematangkan isinya. Pasti ia mampu mengeluarkan natijah terbaik apabila berjaya melalui proses yang betul. Lihatlah ilmuan agung, ilmu penuh di dada, kata-kata mereka berhikmah, hujah mereka dijadikan panduan, pandangan dan idea sentiasa dihormati. Itulah tanda keberkatan pada ilmu telah ada. Kesungguhan mereka menuntut ilmu dengan sabar dan tekun menghasilkan ilmu-ilmu yang cukup hebat, terus mengalir, digunakan sampai ke hari ini.


Ana nukilkan syair karya Imam Syafie untuk sama-sama kita fikirkan...

Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ;
cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi ustaz (ilmuan) dan masa yang panjang.
 
Masa yang panjang...
 
Allahu Rabbi..