marquee

Thursday, October 4, 2012

Ingin khusyuk solat?

Bismillahirrahmanirrahim...

Solat itu tiang agama. Kalimah yang agak 'klise' dalam hidup kita. Namun, pernahkah kita menilai kekuatan 'tiang' kita itu? Kukuhkah ia?Atau sudah hampir rebah menyembah bumi?

 
Untuk kali ini, ana ingin kongsi tip khusyuk solat. Ia adalah amalan seorang sahabat nabi. Jika ana tidak silap, nama beliau adalah Saydina Abbad bin Bisyir. Pernah diceritakan, dalam sebuah peperangan, Saydina Abbad dipanah dengan begitu banyak sekali ketika sedang mendirikan solat.  Namun, kerana kekhusyukannya dalam solat, beliau langsung tidak menyedari bahawa dirinya dipenuhi panah. Maha Suci Allah, memberikan rasa khusuk yang cukup mendalam buat hambaNya.



Apakah amalan Saydina Abbad bin Bisyir dalam solat sehingga dianugerahkan rasa khusyuk yang begitu indah?

Apabila ditanya, beliau mengkhabarkan bahawa tatkala beliau mendirikan solat, beliau membayangkan:

Allah berada di depannya, memerhati dengan pandangan kasih sayang kepada hambaNya.
Malaikat Maut di belakangnya, bakal mencabut nyawanya pada bila-bila masa. 
Di kanannya syurga yang penuh kenikmatan. 
Di kirinya neraka yang penuh siksaan mengerikan.



Subhanallah...mudahan kita juga dapat menjadikannya sebagai amalan kita. 
Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.



 



Allahu Rabbi...

Ibadah, hadiah kita kepada Allah

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah di atas segala nikmat yang tidak terhitung, nikmat kesihatan, nikmat keberkatan, nikmat kesejahteraan, nikmat kelapangan waktu, nikmat kegembiraan dan berjuta kenikmatan yang tidak mampu dihitung nilainya. 

"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak"
Surah al-Kuathar:1

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungkannya"
Surah Ibrahim:34




Memulakan bicara, ingin ana kongsikan suatu kata-kata yang ana dengar dari seorang ustaz, katanya "Ibadah itu HADIAH". Lama juga ana duduk memikirkan kalam  penuh makna itu. Katanya ringkas tapi cukup bermakna.


Apa erti sebuah hadiah? Adakah ia sesuatu yang diminta? Pasti jawapannya tidak. Memiliki hadiah bukanlah atas suatu permintaan, tapi kerana sebuah kerelaan. Rela untuk memberi. Memberi pula pastinya setelah memiliki. Analoginya begini, apabila kita memiliki sebuah jam, barulah kita boleh memberi atau menghadiahkan jam itu kepada orang lain. Kekuatan untuk memberi bermula daripada kuasa memiliki. Andai kita tidak memiliki, mana mungkin kita mampu memberi.


 Panjang pula ana berbicara soal memiliki dan memberi. Berbalik kepada ungkapan mulia ustaz tadi "Ibadah itu HADIAH". Umum mengetahui, hadiah itu pastilah menggembirakan penerimanya. Dalam soal ibadah, jika kita mengatakan ia seumpama hadiah, beerti kita memberi hadiah kepada Allah. Dengan kata lain, kita menggembirakan Allah. Subhanallah, ibadah itu  untuk menggembirakan Allah, Pemilik Jiwa Hamba. 
  
Mahukah kita menjadi hamba yang paling banyak menggembirakan Tuhan?


Mari kita memberi hadiah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, supaya Dia menunggu kepulangan kita dengan penuh cinta dan rindu. Mulalah memberi hadiah kepada Rabbul Jalil sekarang. Berzikirlah sekalipun dengan menyebut kalimah 'Allah' cuma, kerana ia bernilai ibadah, kerana ia adalah hadiah, buat Pemilik Cinta Teragung. Ya Allah, terimalah hadiah kami ini..



Allahu Rabbi...

Sunday, September 23, 2012

Tentang Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...perkongsian kali ni guna loghat Terengganu sebab ana nak cuba sampaikan situasi dan realiti yang terjadi, supaya ia masuk ke hati. Kata Prof Muhaya, bila kita nak bercakap dengan orang, kita jangan bercakap dengan mindanya, tapi cakap dengan hatinya. Dari hati, turun ke hati jua. 
Berbicara soal ini, teringat ana pada Sahabat Rasulullah SAW..
 "Jangan ditanya apa yang ada pada akalnya,
 tapi tanyalah apa yang ada dalam hati dan jiwa mereka(para Sahabat Ridwanullah Alaihim)"

Apa yang ada dalam hati para sahabat? Ia adalah kasih sayang dan cinta yang terlalu agung, hanya dipersembah buat Baginda SAW. Saydina Abu Bakar dan para Sahabat lainnya, tatkala bertemu Rasulullah SAW, bibir mereka yang mulia sering menutur kata-kata yang ikhlas keluar daripada kelopak hati-hati yang suci: "Aku cinta padamu Ya Rasulullah..." Subhanallah... agungnya cinta kalian buat Baginda kekasih Allah.

"Ya Allah, rezekikan kami untuk menikmati rasa cinta kepadaMu 
sebagaimana rasa cinta yang telah dicurahkan oleh Baginda SAW terhadapMu, 
dan rezekikan kami untuk menikmati rasa cinta kepada Baginda SAW
sebagaimana rasa cinta yang telah dicurah oleh para Sahabat terhadap Baginda SAW"
 Kami menanti saat untuk menikmatinya... wahai Pemilik Hati kami

Untuk kali ini, ana kongsikan rasa hati ana, suatu rasa untuk dikongsi, rasa yang dimiliki oleh semua.Ia tentang rasa.
Suatu malam, si anak duduk di sofa merah. Menjeling-jeling si ayah yang sedang mengaji al-Quran.


"Ayah, ce(cuba) tengok tangan kita ni, bakpe jadi gini(kenapa jadi begini?)" si anak mula mengganggu perhatian ayahnya. Menunjuk-nunjuk jarinya yang ada sedikit benjolan kecil...kecil sangat-sangat.

"Mana? Takdok apelah...bubuh minyok gamat sket" (tiada apa-apa...letak minyak gamat sikit). Kata si ayah sambil membelek-belek jari si anak. Kemudian si ayah meneruskan bacaannya.

Saat si ayah menyentuh jarinya, tiba-tiba si anak dapat merasakan satu sentuhan yang sangat indah. Sentuhan kulit tua si ayah yang terlalu kasar dek kerana membanting tulang empat kerat itu dirasakan sangat indah. Si anak rindu rasa itu. Sudah terlalu lama tidak merasai sentuhan manja tangan ayahnya. 



Pernahkah kita merasai tangan si ayah, menadah tangannya, merasai betapa kuat dan kerasnya tangan itu membanting tulang empat keratnya buat kita. 

Rasalah... kerana ia merupakan rasa kasih seorang anak terhadap pelindungnya...


Allahu Rabbi