Bismillahirrahmanirrahim…
***
Usai membimbing anak-anak
menunaikan solat asar berjemaah, si guru nekad untuk kekal di hadapan. Matanya
di hala ke kiri dan ke kanan dengan perlahan, sayu memerhati air muka ahli-ahli
syurga yang sangat bersih, cukup tenang…setenang air di kali. Anak kecil di
hadapannya itu rata-rata berusia 4 hingga 10 tahun. Usia yang terlalu mulia.
Belum ada tanggungan dosa. Itu melayakkan mereka digelar ahli syurga.
“Buat apa pula Tok Imam?” Pertanyaan
si guru memecah kesunyian.
“Zikir…”
“Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu
Akbar..Lailahaillallah..”
Anak-anak serentak mengalunkan
zikir. Tersenyum si guru melihat anak-anak membilang jari-jari kecil mereka
untuk mencukupkan 11 ulangan zikir.
“Baca doa…” Arahan imam kecil
tadi memberikan isyarat kepada para makmum
untuk memperbaiki kedudukan. Kedua kaki diletakkan di bawah punggung. Kedua
tangan diangkat penuh harap.
“Bismillahirrahmanirrahim..Rabbi ghfirli waliwa lidayya
warhamhuma kama rabbayaani soghira..Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua
ibubapaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih
kecil”
Sebelum anak-anak bangkit untuk bersalaman,
si guru memulakan bicara. Teringin benar menyampaikan pesan pada si anak.
“Duduk dulu sayang… ustazah nak cakap
sikit ni.”Anak-anak memandang si guru.
“Alhamdulillah…tadi kita solat
asar sama-sama. Waktu kita solat, kita menghadap siapa ya?”
“Allah…” Kuat dan jelas suara
mereka, serentak dan sekata.
“Betul, waktu kita solat, kita
sebenarnya bercakap dengan Allah. Allah sayang kita. Allah dengar semua
kata-kata kita. Kita boleh minta macam-macam. Allah dengar semuanya.” Si guru membetulkan duduk.
“Tadi waktu duduk antara dua
sujud, kita baca apa ya?” soal si guru menguji.
“Rabbi ghfirli warhamni wajburni
warfa’ni warzuqni wahdini wa’aafini wa’fu anni” Anak-anak membaca dengan penuh
semangat.
“Pandai semuanya.. Alhamdulillah.
Ustazah suka dengar bacaan tu. Baca sekali lagi sayang”
Anak-anak mengulang bacaan dengan
lebih kuat, barangkali seronok dengan pujian. Fitrah anak, gembira dengan
puji-pujian. Masakan tidak, mereka sememangnya layak dipuji, setiap masa, tanpa
batasan. Pujilah anak-anak, kerana itu sumber kekuatan mereka.
“Sedap sungguh bacaan doa tadi.
Itu doa sebenarnya. Apa maksud bacaan tadi ya? Siapa tahu?”
Anak-anak diam tanpa kata, ada
juga yang terlopong.
“Tadi kita baca doa. Sedap doa
ni. Baca doa ni setiap masa ya. Kalau kita nak baca doa, kat mana-mana pun
boleh. Sambil tunggu kawan, kita boleh baca doa. Sambil tunggu ummi siapkan
nasi, kita boleh baca doa. Sambil tunggu ayah ambil kita di sekolah, kita boleh
baca doa. ”
“Aakil suka baca doa…” Si kecil 5
tahun yang comel mula bersuara.
“Faqih pun selalu baca doa dengan
ibu. Hari-hari Faqih baca doa. Doa dengan kawan-kawan, dengan cikgu, dengan Tok
Ma..semua faqih baca doa..” Si comel ini juga mula bercerita. Si guru memandang
dengan senyum.
Suasana sedikit bising.
Masing-masing sibuk bercerita tentang doa mereka. Anak-anak perempuan di
barisan paling belakang tekun melihat si guru. Anak lelaki di hadapan ada yang
berbisik-bisik sesama mereka dengan butiran yang tidak jelas kedengaran.
“Diam la, ustazah nak cerita tu.”
Syamil bersuara agak tinggi sambil memandang sahabat-sahabat. Dia kemudian
memandang si guru sambil tersenyum-senyum. Seorang anak murid yang sangat
cintakan ilmu, sentiasa menjadi penyelamat keadaan. Suasana kembali tenang.
“Ya..ya.. dengar ni ustazah nak
cerita. Tadi kita baca doa. Tapi maksud bacaan tu apa? Doa ni sedap sangat.
Baca selalu.” Si guru sengaja mengulang kata-kata, kerana khuatir anak-anak
hilang fokus. Si guru menlihat jam di dinding. Sudah kesuntukan masa. Ibu bapa akan
menjemput anak-anak pulang ke rumah sekejap lagi. Bicara diteruskan sedikit
laju.
“Rabbi ghfirli.. maksud dia apa
ya? Maksudnya.. Ya Allah…ampunkan saya, saya banyak dosa. Tiada sesiapa boleh
ampun dosa saya. Allah sahaja boleh
ampunkan saya. Wahai Allah, ampunlah dosa saya. Kita banyak dosa tak?
Banyakkan… jadi kita kena minta ampun dengan Allah.”
“Warhamni.. apa maksudnya sayang?
Maksudnya.. Ya Allah…sayangilah saya. Tiada sesiapa yang sayang pada saya.. Kita kena sayang Allah, sebab Allah sangat
sayang pada kita. Mak ayah kita sayang kita tak? Mestilah sayangkan.. tapi
sebenarnya Allah lebih sayang kita. Sebab itu Allah ‘ambil’ kita. Allah jemput
kita berjumpa denganNYA.” Si guru tahu ada perkara yang perlu dijelaskan. Anak
kecil ini belum mengerti. Tetapi masa sangat mencemburui mereka. Si guru perlu
meneruskan bicara. Niatnya untuk menyampaikan kata penuh makna pada erti sebuah
doa.
“Wajburni… haa..yang ni maksud
apa pula? Maksudnya.. Ya Allah..cukupkanlah rezki saya.. Saya tak pandai lagi
belajar, jadikan saya pelajar yang pandai. Saya tak ada duit nak beli buku-buku
untuk belajar, berikan saya rezki untuk beli buku, untuk dapat ilmu. Cukupkan
rezki saya Ya Allah. Kita tiada apa-apa. Jika Allah tak bagi kita rezki, kita
tiada apa-apa. Tiada apa pun yang jadi milik kita. Semuanya Allah punya. Jadi
kita kena minta dari Allah. Mintalah, nanti Allah beri.” Si guru mengukir
senyuman penuh harapan.
“Ok…apa lagi lepas tu… Rabbi
ghfirli.. Warhamni.. Wajburni.. Warfa’ni..haa..apa maksud warfa’ni sayang?
Maksudnya.. Ya Allah..angkatlah martabat saya. Saya tiada apa-apa. Wahai
Allah..muliakanlah saya. Kita ni manusia yang lemah. Kita minta Allah angkat
martabat kita, kita minta Allah bagi kita kekuatan. Ya Allah, saya manusia yang
lemah, muliakan saya dengan sifat KemulianMU.”
“Lepas tu sayang, baca apa lagi?”
“Warzuqni..” suara anak-anak yang
agak dewasa sayup-sayup kedengaran. Itu isyarat mereka masih bersama si guru.
Si guru bersemangat meneruskan bicaranya.
“Yaaa.. apa maksudnya? Warzuqni itu
maksudnya.. Ya Allah..berikan saya rezeki. Kurniakanlah keberkatan pada rezeki
saya. Saya tidak mengharapkan rezeki lain, Allah sahaja pemberi rezeki saya..
Rezeki Allah sangat banyak, mintalah dariNYA, kita tak tahu mana satu rezeki
kita, kita tak tahu di mana rezeki kita, Kita tak tahu.. sebab itu kita kena
minta dariNYA.”
“Wahdini..maksud apa pula?
Huda..hidayah… maksudnya Ya Allah, beri saya petunjuk. Tunjukkan saya
jalan-jalan kejayaan, tunjukkan saya jalan-jalan kebekatan, tunjukkan saya
jalan-jalan untuk berjaya di dunia dan akhirat. Jika kita sesat dalam hutan,
kita takut tak? Mesti takut kan. Jadi kita teringin sangat untuk dapat petunjuk
supaya boleh keluar dari hutan itu. Jadi kita kena minta petunjuk dari Allah.
Allah sahaja boleh bagi kita petunjuk. Jika kita dapat petunjuk untuk keluar
dari hutan, kita suka tak?”
“Sukaaa..”
“Lepas wahdini..apa pula..Wa
‘aafini.. Apa maksudnya? Ya Allah.. afiatkan saya..sejahterakan saya..
berikanlah saya kegembiraan, kebahagiaan,ketenangan, kesejahteraan, kedamaian.
Ya Allah, berikan saya kesihatan. Semua nak sihat tak? Nak..semua orang nak sihat.
Kita minta Allah berikan kita kesihatan yang baik, bila kita sihat, kita akan
kuat. Nanti kita boleh tolong agama Allah. Sayang Islam tak?
“Sayang”…
“Nak tolong agama Allah tak?”
“Naakkkkk”..
“Alhamdulillah… kita semua mesti
jadi kuat.. nanti kita boleh kalahkan musuh-musuh Allah.”
“Akhir sekali apa sayang? Wa’fu
anni…hmmm…apa maksud wa’ fu anni ni? Maksudnya... Ya Allah.. ampunilah
saya..saya banyak sangat dosa. Saya minta ampun atas segala-galanya. Kita kena
minta maaf banyak-banyak dengan Allah, sebab kita selalu buat dosa. Minta maaf
banyak-banyak, nanti Allah ampunkan kita.”
“Itulah maksud doa ni… sedap
maknanya.. Baca selalu doa ni.. bila-bila masa boleh baca, di mana-mana.”Anak-anak
ada yang masih terpaku. Tak kurang juga yang tunduk senyum tersipu-sipu.
Si guru mengakhiri penjelasan
dengan satu helaan nafas yang cukup dalam. Wajah-wajah bersih di hadapan terus
ditatap sepenuh jiwa. Hatinya cukup bahagia.
Walaupun mungkin anak-anak belum
mengerti akan doa ini, tapi sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa ia adalah
sebuah doa. Si guru akan terus mengangkat tangan, berdoa bersama anak-anak
kecil ini. Mereka ahli Syurga. Barangkali, ahli Syurga ini boleh menjadi asbab
untuk Allah menerima doa si guru juga, kerana ada nilai keberkatan pada
anak-anak ini.
“Mudahan pesanan tadi diterima
sebagai ibadah di sisiMu ya Allah… Mudahan ia mampu menambah iman dan rasa cinta
anak-anak ini terhadapMU. Cintailah mereka sebagaimana Engkau mencintai
hamba-hambaMu yang soleh.” Si guru berbisik memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.
Berdoalah sayang.. merayulah
padaNYA. Allah sangat rindu dengan rayuan kita. Allahu Rabbi..