marquee

Wednesday, October 31, 2012

Cerita si guru


Bismillahirrahmanirrahim…

***
Usai membimbing anak-anak menunaikan solat asar berjemaah, si guru nekad untuk kekal di hadapan. Matanya di hala ke kiri dan ke kanan dengan perlahan, sayu memerhati air muka ahli-ahli syurga yang sangat bersih, cukup tenang…setenang air di kali. Anak kecil di hadapannya itu rata-rata berusia 4 hingga 10 tahun. Usia yang terlalu mulia. Belum ada tanggungan dosa. Itu melayakkan mereka digelar ahli syurga.



“Buat apa pula Tok Imam?” Pertanyaan si guru memecah kesunyian.

“Zikir…”

“Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu Akbar..Lailahaillallah..” 

Anak-anak serentak mengalunkan zikir. Tersenyum si guru melihat anak-anak membilang jari-jari kecil mereka untuk mencukupkan 11 ulangan zikir.

“Baca doa…” Arahan imam kecil tadi  memberikan isyarat kepada para makmum untuk memperbaiki kedudukan. Kedua kaki diletakkan di bawah punggung. Kedua tangan diangkat penuh harap.

“Bismillahirrahmanirrahim..Rabbi ghfirli waliwa lidayya warhamhuma kama rabbayaani soghira..Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil”



Sebelum anak-anak bangkit untuk bersalaman, si guru memulakan bicara. Teringin benar menyampaikan pesan pada si anak. 

“Duduk dulu sayang… ustazah nak cakap sikit ni.”Anak-anak memandang si guru. 

“Alhamdulillah…tadi kita solat asar sama-sama. Waktu kita solat, kita menghadap siapa ya?”

“Allah…” Kuat dan jelas suara mereka, serentak dan sekata.

“Betul, waktu kita solat, kita sebenarnya bercakap dengan Allah. Allah sayang kita. Allah dengar semua kata-kata kita. Kita boleh minta macam-macam. Allah dengar semuanya.”  Si guru membetulkan duduk.

“Tadi waktu duduk antara dua sujud, kita baca apa ya?” soal si guru menguji.

“Rabbi ghfirli warhamni wajburni warfa’ni warzuqni wahdini wa’aafini wa’fu anni” Anak-anak membaca dengan penuh semangat. 

“Pandai semuanya.. Alhamdulillah. Ustazah suka dengar bacaan tu. Baca sekali lagi sayang”

Anak-anak mengulang bacaan dengan lebih kuat, barangkali seronok dengan pujian. Fitrah anak, gembira dengan puji-pujian. Masakan tidak, mereka sememangnya layak dipuji, setiap masa, tanpa batasan. Pujilah anak-anak, kerana itu sumber kekuatan mereka. 

“Sedap sungguh bacaan doa tadi. Itu doa sebenarnya. Apa maksud bacaan tadi ya? Siapa tahu?”

Anak-anak diam tanpa kata, ada juga yang terlopong. 

“Tadi kita baca doa. Sedap doa ni. Baca doa ni setiap masa ya. Kalau kita nak baca doa, kat mana-mana pun boleh. Sambil tunggu kawan, kita boleh baca doa. Sambil tunggu ummi siapkan nasi, kita boleh baca doa. Sambil tunggu ayah ambil kita di sekolah, kita boleh baca doa. ”

“Aakil suka baca doa…” Si kecil 5 tahun yang comel mula bersuara. 

“Faqih pun selalu baca doa dengan ibu. Hari-hari Faqih baca doa. Doa dengan kawan-kawan, dengan cikgu, dengan Tok Ma..semua faqih baca doa..” Si comel ini juga mula bercerita. Si guru memandang dengan senyum.

Suasana sedikit bising. Masing-masing sibuk bercerita tentang doa mereka. Anak-anak perempuan di barisan paling belakang tekun melihat si guru. Anak lelaki di hadapan ada yang berbisik-bisik sesama mereka dengan butiran yang tidak jelas kedengaran.

“Diam la, ustazah nak cerita tu.” Syamil bersuara agak tinggi sambil memandang sahabat-sahabat. Dia kemudian memandang si guru sambil tersenyum-senyum. Seorang anak murid yang sangat cintakan ilmu, sentiasa menjadi penyelamat keadaan. Suasana kembali tenang.
   
“Ya..ya.. dengar ni ustazah nak cerita. Tadi kita baca doa. Tapi maksud bacaan tu apa? Doa ni sedap sangat. Baca selalu.” Si guru sengaja mengulang kata-kata, kerana khuatir anak-anak hilang fokus. Si guru menlihat jam di dinding. Sudah kesuntukan masa. Ibu bapa akan menjemput anak-anak pulang ke rumah sekejap lagi. Bicara diteruskan sedikit laju. 

“Rabbi ghfirli.. maksud dia apa ya? Maksudnya.. Ya Allah…ampunkan saya, saya banyak dosa. Tiada sesiapa boleh ampun dosa saya.  Allah sahaja boleh ampunkan saya. Wahai Allah, ampunlah dosa saya. Kita banyak dosa tak? Banyakkan… jadi kita kena minta ampun dengan Allah.”

“Warhamni.. apa maksudnya sayang? Maksudnya.. Ya Allah…sayangilah saya. Tiada sesiapa yang sayang pada saya..  Kita kena sayang Allah, sebab Allah sangat sayang pada kita. Mak ayah kita sayang kita tak? Mestilah sayangkan.. tapi sebenarnya Allah lebih sayang kita. Sebab itu Allah ‘ambil’ kita. Allah jemput kita berjumpa denganNYA.” Si guru tahu ada perkara yang perlu dijelaskan. Anak kecil ini belum mengerti. Tetapi masa sangat mencemburui mereka. Si guru perlu meneruskan bicara. Niatnya untuk menyampaikan kata penuh makna pada erti sebuah doa.  

“Wajburni… haa..yang ni maksud apa pula? Maksudnya.. Ya Allah..cukupkanlah rezki saya.. Saya tak pandai lagi belajar, jadikan saya pelajar yang pandai. Saya tak ada duit nak beli buku-buku untuk belajar, berikan saya rezki untuk beli buku, untuk dapat ilmu. Cukupkan rezki saya Ya Allah. Kita tiada apa-apa. Jika Allah tak bagi kita rezki, kita tiada apa-apa. Tiada apa pun yang jadi milik kita. Semuanya Allah punya. Jadi kita kena minta dari Allah. Mintalah, nanti Allah beri.” Si guru mengukir senyuman penuh harapan.

“Ok…apa lagi lepas tu… Rabbi ghfirli.. Warhamni.. Wajburni.. Warfa’ni..haa..apa maksud warfa’ni sayang? Maksudnya.. Ya Allah..angkatlah martabat saya. Saya tiada apa-apa. Wahai Allah..muliakanlah saya. Kita ni manusia yang lemah. Kita minta Allah angkat martabat kita, kita minta Allah bagi kita kekuatan. Ya Allah, saya manusia yang lemah, muliakan saya dengan sifat KemulianMU.”

“Lepas tu sayang, baca apa lagi?”

“Warzuqni..” suara anak-anak yang agak dewasa sayup-sayup kedengaran. Itu isyarat mereka masih bersama si guru. Si guru bersemangat meneruskan bicaranya. 

“Yaaa.. apa maksudnya? Warzuqni itu maksudnya.. Ya Allah..berikan saya rezeki. Kurniakanlah keberkatan pada rezeki saya. Saya tidak mengharapkan rezeki lain, Allah sahaja pemberi rezeki saya.. Rezeki Allah sangat banyak, mintalah dariNYA, kita tak tahu mana satu rezeki kita, kita tak tahu di mana rezeki kita, Kita tak tahu.. sebab itu kita kena minta dariNYA.”

“Wahdini..maksud apa pula? Huda..hidayah… maksudnya Ya Allah, beri saya petunjuk. Tunjukkan saya jalan-jalan kejayaan, tunjukkan saya jalan-jalan kebekatan, tunjukkan saya jalan-jalan untuk berjaya di dunia dan akhirat. Jika kita sesat dalam hutan, kita takut tak? Mesti takut kan. Jadi kita teringin sangat untuk dapat petunjuk supaya boleh keluar dari hutan itu. Jadi kita kena minta petunjuk dari Allah. Allah sahaja boleh bagi kita petunjuk. Jika kita dapat petunjuk untuk keluar dari hutan, kita suka tak?”

“Sukaaa..”

“Lepas wahdini..apa pula..Wa ‘aafini.. Apa maksudnya? Ya Allah.. afiatkan saya..sejahterakan saya.. berikanlah saya kegembiraan, kebahagiaan,ketenangan, kesejahteraan, kedamaian. Ya Allah, berikan saya kesihatan. Semua nak sihat tak? Nak..semua orang nak sihat. Kita minta Allah berikan kita kesihatan yang baik, bila kita sihat, kita akan kuat. Nanti kita boleh tolong agama Allah. Sayang Islam tak?

“Sayang”…

“Nak tolong agama Allah tak?”

“Naakkkkk”..

“Alhamdulillah… kita semua mesti jadi kuat.. nanti kita boleh kalahkan musuh-musuh Allah.” 

“Akhir sekali apa sayang? Wa’fu anni…hmmm…apa maksud wa’ fu anni ni? Maksudnya... Ya Allah.. ampunilah saya..saya banyak sangat dosa. Saya minta ampun atas segala-galanya. Kita kena minta maaf banyak-banyak dengan Allah, sebab kita selalu buat dosa. Minta maaf banyak-banyak, nanti Allah ampunkan kita.”

“Itulah maksud doa ni… sedap maknanya.. Baca selalu doa ni.. bila-bila masa boleh baca, di mana-mana.”Anak-anak ada yang masih terpaku. Tak kurang juga yang tunduk senyum tersipu-sipu.

Si guru mengakhiri penjelasan dengan satu helaan nafas yang cukup dalam. Wajah-wajah bersih di hadapan terus ditatap sepenuh jiwa. Hatinya cukup bahagia.

Walaupun mungkin anak-anak belum mengerti akan doa ini, tapi sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa ia adalah sebuah doa. Si guru akan terus mengangkat tangan, berdoa bersama anak-anak kecil ini. Mereka ahli Syurga. Barangkali, ahli Syurga ini boleh menjadi asbab untuk Allah menerima doa si guru juga, kerana ada nilai keberkatan pada anak-anak ini. 

“Mudahan pesanan tadi diterima sebagai ibadah di sisiMu ya Allah… Mudahan ia mampu menambah iman dan rasa cinta anak-anak ini terhadapMU. Cintailah mereka sebagaimana Engkau mencintai hamba-hambaMu yang soleh.” Si guru berbisik memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. 

Berdoalah sayang.. merayulah padaNYA. Allah sangat rindu dengan rayuan kita. Allahu Rabbi..

1 comment: