marquee

Tuesday, October 9, 2012

Baca dan bacalah…



Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, berkat dorongan sahabat yang sangat ana muliakan, pesan bicara suci ini ana teruskan lagi, buat bekalan dikemudian hari, demi mencari redha dan cinta ILAHI. Mudahan kami terus bersama dalam ribaan kasih ILAHI, bersama dalam meraih syafaat Baginda SAW. Andai ada pahala dari amalan ini, mudahan ia menjadi asbab untuk kami berjiran di Syurga. Amin Ya Rabbal Alamin..  


Kali ini ingin ana kongsikan sedikit ilmu tentang MEMBACA. Perkongsian kali ini agak panjang. Hakikatnya, ilmu Allah takkan pernah habis ditulis selama hayat ini. 

Apa ertinya membaca pada kaca mata kita? Sejauh mana pentingnya membaca dalam hidup kita? Apa kaitan yang ada di antara kita dan buku? Sukarkah membaca? Atau kita tiada bahan bacaan untuk ditelaah?  
Sebenarnya membaca itu suatu keutamaan. Dengan membaca, kita mendapat ilmu. Bukalah lembaran kitab, telitilah nukilan ulama yang layaknya ditulis dengan tinta emas sahaja. Ambillah masa untuk meningkatkan kualiti diri dengan membaca. Andai kitab itu tidak penting, kenapa Allah juga memiliki KITABNYA sendiri?



Wahai saudaraku...lupakah kita dengan keutamaan membaca di dalam Islam dengan bukti penurunan WAHYU PERTAMA yang menyuruh kita MEMBACA. Kepada siapa seruan itu dituju? Kitalah…umat Islam yang sangat dicintai Allah SWT dan dirindui Baginda SAW



Di sini, ana sertakan beberapa hujah keutamaan dan kedudukan ILMU di dalam ISLAM. 

Al-Quran menyebut:

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
 Surah al-Taubah:122

Nabi Musa berkata kepada Nabi Khidhir: "Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?"
Surah al-Kahfi:66

 Sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman."
Surah Al-Naml:15

Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, niscaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.
Surah Maryam:43

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Surah al-Faatir:28

(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
Surah al-Zumar:9

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Surah al-Mujaadalah:11

Rasulullah SAW bersabda: 

“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan, maka ia akan diberiNya kefahaman terhadap agama.”

“Barangsiapa yang keluar rumah untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali pulang ke rumahnya.”

“Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberi kemudahan baginya menuju Syurga.” 

“Dunia dan segala isinya dilaknat, kecuali orang yang berzikir kepada Allah, orang yang memiliki ilmu serta orang yang belajar.”

“Sesungguhnya Allah, para Malaikat, penghuni langit dan bumi hinggalah semut di dalam lubang dan ikan di lautan, kesemuanya berdoa untuk orang orang yang mahu mengajarkan kebaikan kepada orang lain.”

Kata-kata para Sahabat dan ulama’:

Saydina Muaz RA berkata: “Pelajarilah ilmu,kerana mempelajari ilmu dengan niat kerana Allah adalah suatu ungkapan rasa takut kepadaNYA. Menuntutnya adalah suatu ibadah, mengkajinya adalah suatu tasbih, mencarinya adalah suatu perjuangan, mengajarkannya kepadalah orang yang tidak tahu adalah sedekah, memberinya kepada orang yang yang mencari adalah salah satu pendekatan diri kepada Allah(taqarrub ilallah).”

Imam Syafi’e berkata: “Menuntut ilmu adalah lebih baik daripada solat sunat” -kerana ilmu boleh disebarkan dan pahalanya berganda-ganda setiap kali insan lain mengamalkannya, manakala pahala solat adalah untuk yang mengamalkannya sahaja.

Imam al-Qurtubi berkata: “Menuntut ilmu adalah suatu keutamaan besar, suatu tingkatan mulia yang tidak dapat dibandingkan dengan perbuatan apa jua sekalipun.”

Pujangga berkata: “Pelajarilah ilmu, nescaya ia akan mengawalmu dan membimbingmu di kala kecil,ia akan mengangkat dan menjadikanmu seorang pemimpin di kala tua. Ia boleh memperbaiki kesilapan dan kesalahan, menundukkan musuh, menundukkan orang-orang yang iri hati kepadamu. Ilmu dapat meluruskan keterpesongan dan kemiringan. Ilmu membangkitkan semangat dan harapan.”

Kata Dr. Aidh bin Abdullah al-Qarni: Wahai orang yang diberi kesabaran untuk menyendiri, diberi kemudahan untuk memasuki pintu ilmu pengetahuan, wahai orang yang setia bersahabat dengan buku, jangan pernah menyesal dengan apa yang telah pergi! Orang yang merasakan manisnya menyendiri bersama buku, tidak akan menerima sesuatu apapun sebagai ganti daripada buku. Ia tidak akan sudi menukarnya meskipun ia diberi kerajaan Rom dan Parsi!





Bacalah…Kerana kita umat membaca. Kenyataan yang  dikeluarkan oleh seorang tokoh zionis cukup memalukan muslim. Dia menggambarkan umat Islam sebagai umat membaca dan umat al-Quran, tetapi dia melihat realiti bahawa umat Islam adalah umat yang enggan membaca. Malu kita dengan kenyataan ini. Janganlah membiarkan diri kita menjadi fitnah kepada agama sendiri.



Ilmu dan akal adalah puncak kebahagiaan dan kesejahteraan seseorang, sekalipun ia memiliki harta yang sedikit. Ketahuilah, kebahagiaan tidak dapat dicapai dengan banyaknya harta. Banyak sekali orang kaya yang menderita, kerana kejahilannya membuatkan dia dipandang rendah di mata orang lain, dan banyak juga orang miskin yang berbahagia, kerana kebijaksanaannya membuatkan dia dipandang mulia di mata orang lain. Ada kata hikmah yang menyebut “Betapa banyak orang kecil yang dimuliakan oleh ilmunya dan betapa banyak pula orang besar yang direndahkan oleh kejahilannya”



Tuntutlah ilmu, walau di mana kita berada. Pilihlah ilmu-ilmu yang menyegarkan jiwa, membangkitkan rasa ingin tahu dan mengembangkan pemahaman. Ilmu itu tidak mengenal usia. Bacalah, sekalipun di usia senja, kerana menjadi orang tua yang MAHU belajar lebih mulia daripada menjadi orang tua yang ENGGAN belajar.


Diceritakan bahawa pada suatu hari, Imam al-Makmum yang masih kecil bertanya kepada seorang ulama’, Imam Ibrahim al-Mahdi. “Patutkah orang seusiaku ini masih belajar?” Imam Ibrahim menjawab “Ya. Demi Allah, mati dalam menuntut ilmu lebih baik daripada hidup puas dengan kejahilan” Imam al-Makmum bertanya lagi “Sampai bila aku masih layak menuntut ilmu?” Jawab Imam Ibrahim “SELAGI ENGKAU LAYAK UNTUK HIDUP, MAKA SELAGI ITULAH ENGKAU LAYAK MENUNTUT ILMU. Seorang anak kecil yang berbuat dosa, dia masih boleh dimaafkan kerana dia jahil. Namun, apabila orang tua yang berbuat dosa, dia tidak dapat dimaafkan, meskipun dia jahil (kerana dia diberi waktu dan mestilah berusaha mencari ilmu).”



Betapa indahnya apabila dorongan menuntut ilmu adalah kerana ilmu itu sendiri, dan bukannya yang lain. Bukan kerana apa yang dihasilkan oleh ilmu itu. Tatkala kecintaan kepada ilmu sudah kukuh terpacak di dalam hati, dan jiwa juga sudah diulit kenikmatan ilmu, maka tanpa disedari, ia akan bergerak untuk mendapatkan apa yang ia mahukan. Segalanya bermula dengan TAHU tentang ilmu, yang akan mencetuskan rasa MAHU bergerak untuk menuju sesuatu yang MAMPU dikecapinya.



 Ilmu itu letaknya di dada, amalnya perlu di zahirkan, nikmatnya perlu disebarkan.

Hayatilah manfaat membaca ini

Bacalah…dan teruslah membaca
Bacalah… pujuklah rasa untuk membaca
Bacalah… sekalipun ia sangat susah dipermulaannya
Bacalah... kerana ia adalah proses untuk mendapat ilmu
Bacalah… kerana ia adalah perkara penting dalam hidup kita
Bacalah… sekalipun di usia senja
Bacalah… kerana Islam memuliakan pembaca ilmu bermanfaat
Bacalah… kerana ia adalah kenikmatan
Bacalah… kerana anda akan memegang kuasa
Bacalah… kerana anda akan menjadi orang soleh
Bacalah… kerana anda akan gembira
Bacalah… kerana anda akan tahu hala tuju
Bacalah… kerana anda akan selamat
Bacalah… kerana anda akan jadi orang mulia
Bacalah… kerana anda akan bersama para nabi
Bacalah… kerana anda akan bersama para ulama’ dan hukama’
Bacalah…ia memberi anda ilmu
Bacalah... ia menyelamatkan diri anda dari kejahilan
Bacalah… ia menguatkan ingatan
Bacalah… ia mendewasakan otak
Bacalah… ia memberi banyak pengalaman dan pengajaran
Bacalah… ia melancarkan bicara
Bacalah… ia mengungkapkan banyak rahsia
Bacalah… ia mengganti lelahnya berkelana menuntut ilmu
Bacalah… ia memberikan nasihat
Bacalah… ia menemani di kala sepi
Bacalah… ia mengusir kegelisahan dan kejemuan
Bacalah… ia menghindarkan anda dari tempat duduk yang tidak baik
Bacalah… ia menemukan anda dengan teman-teman yang soleh
Bacalah… ia membuatkan anda pandai menjaga ilmu
Bacalah… ia menyelamatkan anda daripada bisikan-bisikan buruk
Bacalah… ia mengisi kekosongan
Bacalah… ia memberi rasa hormat dan ikhlas kepada diri anda
Bacalah… ia mengangkat semangat
Bacalah… ia meninggikan nilai anda
Bacalah… ia membuat orang lain seronok berbual dengan anda
Bacalah… ia memberi anda kefahaman tentang sunnatullah kehidupan
Bacalah… ia memberi anda keyakinan dalam agama
Bacalah… ia memberi anda pengetahuan yang kuat
Bacalah… ia menjauhi anda dari ucapan yang berlebih-lebihan
Bacalah… ia memberi anda hikmah untuk memberi pandangan yang cermat
Bacalah… ia mengajar anda memberi keputusan yang sihat
Bacalah… ia membuat anda mampu mengesan kelicikan, helah dan tipu muslihat musuh
Bacalah… ia membuatkan anda senang untuk merenung
Bacalah… ia membuat anda zuhud terhadap dunia
Bacalah… ia membuat anda cinta pada akhirat
Bacalah… ia menjadikan anda pemimpin yang ditaati
Bacalah… ia menghindarkan anda dari melakukan perkara yang tiada erti
Bacalah… ia makanan bagi jiwa
Bacalah… ia membuat gembira dan lupa akan derita yang dibuat pendengki
Bacalah… ia menyelamatkan anda dari berbicara tentang remeh temeh
Bacalah… ia memberi anda ilmu untuk mengukur tingkat akal manusia
Bacalah… ia mengusir kebutaan hati
Bacalah… ia mencerdaskan fikiran
Bacalah… ia mengalahkan musuh
Bacalah… ia menjauhkan anda dari kesesatan dan godaan syaitan
Bacalah… ia mengajar anda bergaul dengan manusia
Bacalah… ia memberi anda peluang untuk duduk bersama sahabat yang baik
Bacalah… ia memberi anda peluang untuk duduk bersama para raja dan pembesar
Bacalah… ia memberi anda peluang untuk duduk bersama pemimpin
Bacalah… ia memberi anda peluang untuk duduk bersama para pujangga dan cendikiawan
Bacalah… ia memberi anda peluang untuk duduk bersama banyak bangsa


Bacalah… ia membantu anda untuk naik ke mimbar
Bacalah… ia mengajak anda ke acara-acara besar
Bacalah… ia mengajar anda berkhutbah di hadapan orang ramai
Bacalah… ia membiasakan anda untuk meniru ulama dalam belajar
Bacalah… ia mendidik akhlak anda menjadi budiman
Bacalah… ia melindungi anda dari fitnah
Bacalah… ia mengajar anda menulis dan mengarang
Bacalah… ia mengembangkan jiwa berkarya
Bacalah… ia mendidik anda membuat sesuatu yang baru
Bacalah… ia membawa keuntungan yang lebih berharga dari emas dan perak
Bacalah… ia memberi solusi kepada pertanyaan dan teka teki
Bacalah… ia memberi jawapan kepada semua persoalan
Bacalah… ia menambahkan usia
Bacalah… ia mengajar anda mengenali akhlak manusia
Bacalah... ia meringankan musibah yang menimpa
Bacalah…ia mengharum dan melonjakkan nama
Bacalah... ia mengajar anda tentang aliran pemikiran
Bacalah… ia menzahirkan kebenaran dan membongkar kepalsuan
Bacalah… ia ubat untuk jiwa, akal dan tubuh
Bacalah... ia menggantikan kelazatan dunia
Bacalah…ia teman di malam hari, teman bicara, teman pendamping
Bacalah… ia menyatukan keuntungan, kesenangan dan hiburan
Bacalah… ia memberi semangat untuk beribadah
Bacalah… ia mensucikan jiwa
Bacalah… ia lambang kemenangan orang Islam
Bacalah… ia menuju puncak keagungan hikmah
Bacalah… ia adalah gerbang kebijaksanaan, kemuliaan, kemahsyuran, keabadian, kesejahteraan, kebahagiaan dan kesempurnaan
Bacalah… ia jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat
Bacalah… ia menjadikan anda cinta untuk bertemu Allah

Ilmu itu sangat mulia, maka letakkan diri kita di kedudukan yang hina(rendah), barulah kita boleh meraihnya. Bukankan gunung yang tinggi tidak mampu menampung air, sedangkan lembah yang rendah mampu menampung air? Dalam masa yang sama, janganlah sombong dengan ilmu yang ada, kerana kesombongan menghilangkan keberkatan ilmu.

Teruslah menjadi umat membaca…

Barangkali kerana satu ayat yang anda baca akan merubah jalan haluan anda daripada kesesatan menuju gerbang hidayah. 

Barangkali kerana satu ayat yang anda baca akan menjadi punca kebahagiaan. 

Barangkali kerana satu ayat yang anda baca membawa anda mengecapi indahnya langit Syurga ILAHI.

Akhir bicara, sama-samalah kita membudayakan amalan membaca dalam hidup kita. Ia mengajar kita menjadi lebih sempurna atau sekurang-kurangnya kita berusaha untuk bergerak menuju ke arah kesempurnaan itu.. Cintailah ilmu, kerana hanya ilmu yang boleh mengangkat darjat sesuatu umat. Bacalah…kerana kita umat IQRA’.

Allahu Rabbi….

No comments:

Post a Comment