marquee

Thursday, July 21, 2011

Jangan cepat nak jadi hebat.

Assalamualaikum..
Bismillahirrahmanirrahim..Alhamdulillah..Syukur padaNYA, memberi kelapangan waktu untuk ana meneruskan zikir-zikir cinta padanya sekalipun melalui tulisan-tulisan bisu seumpama ini. Ada ilmu untuk diterokai, ada pengalaman untuk dikongsi, ada hikmah untuk diteladani. Subhanallah..
 
Terfikir lama membayangkan realiti hidup yang bakal ditempuh. Jaraknya belum pasti, tapi ada  takdir dan ketentuan yang menanti. Mungkin ajal datang menjemput sebelum sempat bertemu esok. Itu janjiNya. Namun kita sebagai hamba, jangan lupa tanggungjawab hidup perlu diurus sebaiknya. Kelak amanah ini mampu dibentang seindahnya tanpa sesalan. Hidup mesti bijak merancang. Merancang masa depan bererti merangcang sebuah kehidupan. Merancang kehidupan terbaik adalah matlamat dan impian hamba, yang belum tahu di mana destinasi akhirnya. Syurga atau neraka. Merancanglah dengan bijak. Ingati Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
 

"Barangsiapa yang amalannya hari  ini lebih baik dari semalam,
dia adalah orang yang beruntung.
 
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
 
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T."
 
 
Untuk coretan kali ini, ingin ana kongsi sedikit idea daripada secebis bacaan yang telah menggegarkan jiwa, memantapkan diri dalam menuju transformasi. Sungguh ilmuNya amat suci. Menyingkap tabir rahsia agung, membuka tirai-tirai keaiban dalam diri yang hanya mampu disedari oleh diri sendiri yang mahu tahu.

Kagum dengan idea penulis Solusi, Ustaz Umar Muhammad Noor-Menjadi kismis sebelum anggur. Isu 30. Benar ideanya. Proses untuk menjadi matang adalah proses yang lama. Ia memerlukan masa untuk menjadi hebat. Lihatlah resmi pokok, sebelum ia menjadi pokok yang mampu mengeluarkan buah yang sangat enak dan berkhasiat, ia telah melalui tempoh yang amat lama untuk menjadi subur dan matang. Bermula dari ditabur benih, kemudian mengeluarkan anak-anak pokok yang kecil, kemudian ia hidup dengan berani, kemudian ia makin tinggi, tetap teguh berdiri walau ditiup angin. Ia tetap teguh dan bersemangat untuk hidup. Kerana ia memang ingin hidup. Hebat, tapi adakah ia membesar dan tumbuh subur dengan cepat? Tidak, bahkan ia menuntut satu tempoh masa yang amat lama untuk matang. Banyak cabaran dan halangan perlu ditempuh untuk menghasilkan buah yang enak.


Begitu juga kita sebagai ahli ilmu. Selagi kita bergelar hamba, selagi itulah kita penuntut ilmuNYA. Perjuangan untuk menjadi ahli ilmu memerlukan tempoh masa yang lama. Bukan mudah untuk menjadi ahli ilmu yang hebat. Kita memerlukan masa untuk memastikan ilmu itu matang dalam diri, agar ia hidup sebati dengan jiwa. Ilmu juga ada rohnya. Andai penuntut sekadar memiliki jasad ilmu tanpa rohnya, ilmu itu pasti mati. Kita memerlukan masa untuk memastikan roh ilmu itu terus subur dan kuat tertunjang dan terpasak dalam diri.

Jangan cepat merasakan kita hebat dan cukup dengan ilmu yang ada. Kita tidak akan mampu menjadi hebat jika kita ingin mendapatkan semuanya dengan cepat. Ia tidak akan masak sebelum sampai waktunya. Ia tidak mampu membesar dengan matang. Lebih malang, ia menghasilkan sesuatu yang buruk. Umpama buah yang tidak melalui tempoh pembesaran yang baik, ia pasti menjadi buah yang tidak enak, tidak cantik, berulat dan kita tidak dapat memanfaatkan buahnya lagi. Kita bimbang ilmu kita kelak tidak mampu memberi manfaat. Hilang keberkatannya.

Jangan cepat nak jadi hebat. Usah melawan fitrah, kelak mudarat tak mampu ditanggung. Biarkan ilmu kita matang mengikut fitrahnya. Bagilah ia ruang masa untuk mematangkan isinya. Pasti ia mampu mengeluarkan natijah terbaik apabila berjaya melalui proses yang betul. Lihatlah ilmuan agung, ilmu penuh di dada, kata-kata mereka berhikmah, hujah mereka dijadikan panduan, pandangan dan idea sentiasa dihormati. Itulah tanda keberkatan pada ilmu telah ada. Kesungguhan mereka menuntut ilmu dengan sabar dan tekun menghasilkan ilmu-ilmu yang cukup hebat, terus mengalir, digunakan sampai ke hari ini.


Ana nukilkan syair karya Imam Syafie untuk sama-sama kita fikirkan...

Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ;
cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi ustaz (ilmuan) dan masa yang panjang.
 
Masa yang panjang...
 
Allahu Rabbi..

No comments:

Post a Comment