marquee

Monday, July 4, 2011

Ana kagum dengan ustaz


Assalamualaikum… Salam penuh kesyukuan..
Alhamdulillah, berkat rahmat kasih sayangNYA, di kesempatan ini, ana masih diberi kesempatan ruang dan masa,untuk sama-sama  berkongsi sedikit cerita ibrah yang ana rasa sangat-sangat memberi impak yang besar dalam hidup ana sebagai muslim. Moga-moga  ada manfaat yang dapat di ambil, ada pengajaran yang dapat diteladani, insyaAllah.

Kisah ini terjadi sewaktu ana masih di semester ke 3,  USIM.  Hari itu adalah hari Rabu, hari yang sangat-sangat ana tunggu. Hari yang bakal menemukan ana dengan seorang ustaz kesayangan ana. Ustaz Lutfi Mohd Zain namanya, ustaz dari Makkah. Ibunya berketurunan arab, ayahnya dari kedah. Ana sangat mengkagumi Ustaz Lutfi. Dia mengajar ana subjek Tarikh Mazahib (Sejarah Mazhab-Mazhab ) pada waktu itu. Sebenarnya, ana tak belajar tutorial dengan ustaz Lutfi,tapi ana menumpang kelasnya. Ustaz sudah maklum, ana memang suka tumpang kelas ustaz jika ada peluang. Alhamdulillah, ustaz amat mengalu-alukan. Itu antara sebab ana mengkagumi ustaz. Bagi ustaz, pelajar patut mencari ilmu walau di mana pelajar itu berada. Etika sebagai pelajar muslim amat-amat ditekankan oleh ustaz. Banyak sebab yang meyakinkan ana untuk mengkagumi ustaz. Beliau masuk ke kelas tanpa sebarang buku. Beliau juga umpama kitab bergerak. Semua maklumat yang akan diajar ada di dalam hati dan akalnya yang cukup cergas. Alunan indah dan puji-pujian kepada pelajar sentiasa meniti di bibirnya. Hebat. Sewaktu beliau memberi penerangan, tiada pelajar dibenarkan menggerakkan tinta emas mereka. Ustaz akan memperuntukkan masa untuk kami menyalin notanya. Semua perlu mendengar dengan teliti. Jika ada yang tidak memahami penerangan ustaz, ustaz izinkan kami terus menyoal. Kata ustaz, jika ustaz perlu ulang sampai kali ke 100, ustaz akan ulang. Apa yang penting kami faham. Subhanallah..kagum ana. 

Sebut saja nama Ustaz Lutfi, pelajar Syariah Undang-undang takhossus Fiqh Fatwa memang kecut perut. Jika pada hari esok ada subjek ustaz, memang kami tak tidur malam. Semua bersengkang mata menghafal point-point untuk dijawab. Cukup mengerikan seandainya diri terpilih untuk menjawab soalan ustaz. Ustaz sangat ditakuti, tapi ana mengkaguminya. Semua akan diam umpama tidak bernafas bila ustaz masuk ke kelas. Buku Fatwa,karangan Dr Syeikh Husin Mohd Mlah, setebal 1022 mukasurat sedia terhidang di depan semua pelajar besama nota-nota yang sudah hampir lebu kerana selalu dibelek. Kami bersedia menjawab sebarang kemungkinan soalan yang bakal dilontar. Mata-mata kecil tak berkedip lagi.

“Hal qaro’tum am la?”(Adakah kamu sudah membaca atau tidak?)
“Qoro’na” (Kami sudah  baca)
Qolil am kasir?(banyak atau sikit?)
Suasana kembali sepi. Pelajar kebungkaman. Semua ketakutan.
“Man lam yaqro’ au yaqro’ qolil, ukhruj!!!” (Siapa tak membaca atau membaca sedikit sahaja, sila keluar!!)

Rata-rata pelajar akan keluar bila tiba ayat ini. Sebenarnya,mereka dalam dilema. Sekiranya soalan diajukan, tapi andai diri gagal menjawab, lagi parah akibat menanti. Aduh.. ana diam.
Pernah dalam satu-satu kelas, hanya tinggal 10 pelajar daripada 30 orang. Melihat kelibat pelajar ‘di halau’ adalah terlalu biasa bagi kelas ustaz Lutfi.

MOTIF
Apa motif ustaz buat begitu? Suatu hari, ustaz pernah menyatakan rasa kecewanya di dalam kelas. Ustaz bertanya kenapa ramai yang keluar bila ustaz bertanyakan soalan sebegitu? Kami diam. Luah ustaz, jauh di sudut hatinya, beliau sangat-sangat mengharapkan tiada pelajar yang keluar. Kata ustaz, beliau ingin melihat keyakinan pelajar terhadap ilmunya. Ustaz sangat berbangga dengan pelajar –pelajar yang tidak keluar. Ustaz lagi gembira apabila ada pelajar yang tidak keluar, tetapi apabila ditanya dia gagal menjawab kerana itu tanda dia berani mengambil risiko. Sebenarnya ustaz tidak kisah samada kami berjaya menjawab atau tidak. Apa yang ustaz cuba ajar adalah  erti kesediaan, keberanian dan kesungguhan. Itulah harapan ustaz dari kami. Jangan mudah mengalah bila diuji. Saat pejuang mula menemui kekalahan adalah apabila dia mula merasa kecewa dan lemah  dalam perjuangannya, dan saat  pejuang mula menemui kejayaan adalah apabila dia mula melawan perasaan itu. Akhirnya kami mengerti.
Hakikat diri sebagai pelajar menuntut kita untuk belajar erti pengorbanan, penghormatan, kesungguhan, keberanian, kesediaan, ketahanan dan pelbagai lagi. Sebagai pelajar, kita belajar dari pengalaman. 

IBRAH
Dalam hidup ini, kita (ana fokuskan kepada anak muda )belajar dari guru.  Sebagai anak muda, kita mesti belajar daripada guru melalui 2 peringkat manusia. Pertama adalah orang yang sebaya dengan kita. Kita belajar dari kawan-kawan, atau adik-adik yang umurnya lebih kurang macam kita. Dari situ kita dapat ilmu. Kedua, kita belajar daripada orang tua. Mereka banyak pengalaman. Kita tidak akan mampu mengetahui dan merasai sesuatu melainkan apabila ada orang yang pernah melaluinya menceritakan kepada kita. Dari situ kita akan dapat pengalaman. 

Jika diperhatikan ayat Al Quran, Allah sentiasa menggabungkan kalimah Alim dan Hakim. Siapa golongan Alim? Merekalah orang-orang alim yang mengajar kita tentang ilmu. Mungkin sahabat-sahabat kita. Mungkin juga adik-adik kita di rumah.Mata mereka adalah mata ilmu.Tapi cukupkah dengan ilmu sahaja? Ilmu semata-mata tidak memungkinkan kita untuk menilai sesuatu dengan tepat. Sebab itu kita memerlukan pengalaman orang yang lebih tua. Itulah golongan Hakim. Pengalaman mereka mengajar kita membuat penghakiman dengan tepat. Mata mereka adalah  mata penghakiman. Akhirnya, apabila kita menggabungkan kedua-dua elemen ini, alim (ilmu)dan hakim (penghakiman daripada pengalaman),kita akan mampu menilai dan meneliti sesuatu perkara dengan cukup baik, maka akan terzahirlah keagungan ilmu yang sebenar.
Ayuh, pesan ana pada diri dan sahabat, lapangkan dada kita dalam soal menuntut ilmu ini. Ambillah ilmu yang baik  dari sesiapa sahaja selama mana ia bernama ilmu yang baik. Kerana ilmu tidak pernah memilih tuan. Ilmu milik mereka yang berusaha. Ia umpama tongkat si buta, maka andai kita temui ilmu, kutiplah ia walau di mana, walau dari mana. Namun awas, jika “di mana” dan “dari mana” tidak menjadi persoalan, tetapi jangan lupa “ke mana” akan kita bawa ilmu itu,ia pasti menuntut satu jawapan yang haq.

“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaian”-HAMKA.

Wallahu A’lam..
Allahu Rabbi.

2 comments:

  1. kagum dan kaget dengan cara pengajaran ilmu, mumtaz ustaz lutfi, moga2 ramai lagi ulama' seperti ustaz dpt dihasilkan.. ana pun pernah kena guna kaedah yang sama, tp bukan ilmu agama, ilmu sains ubat.. ditnya berjenis2 ubat mengikut kumpulannya.. tp x semua lecture buat.. kaedah itu sungguh berkesan.. ilmu fil sudur walaisa fil kutub.. :)

    ReplyDelete
  2. Na'am akhi.. ilmu jika tak diuji ahlinya,ia tak mungkin dapat berkembang. Antara metod untuk mengembangkan ilmu adalah dengan menguji ahli ilmu itu. Bila kita ada tekanan, ia menjadikan kita makin mampu bergerak ke depan dgn momentum yg lebih hebat.InsyaAllah.

    ReplyDelete